Kegerunan kerajaan Najib Razak kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) semakin jelas apabila satu demi satu sekatan dikenakan ke atas lawan mereka. Ini termasuk ‘mengharamkan’ penggunaan gambar Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad dari dicetak bersama gambar calon-calon yang bertanding.
Menurut Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan calon bakal Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dipapar pada poster kempen HARAPAN. “Kita juga difahamkan oleh SPR dan kita tanya kepada pegawai SPR umpamanya calon bakal perdana menteri kita Tun Dr Mahathir – adakah gambar beliau boleh dipaparkan dalam poster-poster kita di seluruh negara. “Jawapan SPR kata tak boleh. Sebab dia kata Pakatan Harapan belum didaftarkan. Jadi pengurusi Pakatan Harapan adalah diharamkan dalam poster-poster pilihanraya.
“Hanya gambar calon saja boleh, dan gambar presiden parti yang bertanding saja boleh,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN sebentar tadi di pejabat pembangkang di Parlimen. Anthony berkata, antara alasan yang diberikan adalah kerana HARAPAN masih belum berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai sebuah gabungan politik. “Kita rasakan sesuatu yang tidak patut dilarangkan oleh SPR. Kita nak berkempen, kita nak memaparkan pemimpin kita, itu adalah hak parti masing-masing.
Mengapa SPR nak mengarah? Itu bukan urusan SPR,” katanya lagi. – Roketkin.com
Tidak ada gunanya mengaku sebagai ‘pendekar’ atau ‘pahlawan’ tapi membiarkan negara dilumuri ‘dosa-dosa’ rasuah lebih-lebih lagi melibatkan kepentingan rakyat dan negara. Mungkin itu cuba disampaikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib apabila memberi amaran agar tidak mencetuskan kemarahan ‘pendekar Bugis’.
“Saya pun tak berapa faham. Ini bukan soal pendekar Bugis ker tak Bugis. Apa makna pendekar jika kesannya kes-kes rasuah yang telah berlaku. “Apa makna pendekar sekalipun jika dalam kantung pendekar itu ada RM2.6 bilion yang (didakwa) dicuri daripada wang rakyat,” kata beliau dalam video di laman Facebook rasmi BERSATU. Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, Najib seolah-olah cuba meminggirkan tuduhan-tuduhan terhadapnya menggunakan ‘ayat pendekar Bugis’. “Dia harus faham sekarang rakyat sedang susah, rakyat menderita. “Rakyat tak kisah kau pendekar ker kau jadi apapun, itu bukan mereka fikirkan, yang penting ialah nasib mereka,” katanya lagi.
Sebelum ini, isu ‘derma’ RM2.6 bilion telah menggemparkan negara. Bagaimana pun, pemimpin-pemimpin UMNO sedaya upaya menafikan pengaliran wang tersebut ke akaun Perdana Menteri dan mendakwa ia merupakan konspirasi pihak pembangkang. Namun, SPRM kemudiannya telah mengesahkan bahawa wang yang didakwa masuk ke akaun Najib itu adalah sumbangan derma dan bukannya dari 1MDB. Najib turut mengakui wang RM2.6 bilion di dalam bank akaun peribadinya itu merupakan ‘derma’ daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi dan diakakui akan digunakan untuk kemajuan parti, mempertahan Ahlussunnah Wal Jamaah dan memerangi militan.
Anehnya, Najib dilapor telah memulangkan sebahagian besar dana yang diterima daripada keluarga diraja Arab Saudi tersebut manakala Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan sebanyak USD620 juta atau RM2.03 bilion dikembalikan semula pada Ogos 2013 kerana tidak digunakan. Lebih menimbulkan tanda tanya, Kementerian kewangan dan kementerian luar negara Arab Saudi tidak tahu menahu mengenai sumbangan itu kepada Najib. – Roketkini.com
Ramai daripada kita bercita-cita membangun diri untuk sekurang-kurangnya mencipta sebuah sejarah. Boleh jadi ianya bermanafaat untuk ramai orang ataupun ianya sekadar untuk kepuasan diri sendiri.Apapun, keinginan mencipta dan berada di dalam rekod sejarah, semacam sesuatu yang boleh memberi inspirasi hidup. Dan ianya bukanlah sesuatu yang keterlaluan.Memecah rekod olimpik atau sekecil-kecil pencapaian sukan waima memenangi larian dalam guni mewakili rumah hijau ketika di sekolah rendah juga sebahagian daripada sejarah yang mahu kita ingat.
Ada yang sanggup berhabis kudrat, keringat, wang ringit dan harta benda semata-mata mahu menempa nama dalam sejarah. Lebih malang lagi, ramai yang sanggup menipu hanya untuk berada dalamnya. Keinginan berada dalam sejarah. Dengan kata lain, semua orang mahu terlibat dalam apa-apa jenis sejarah yang ditulis. Ini kerana mencipta sejarah atau berada dalamnya bagai impian yang mustahil menjadi nyata. Berahinya menarik minat orang kepadanya. Kita semua inginkan tempat di saat sesebuah sejarah tercipta. Sebagaimana kita teringin juga melihat sendiri sorakan kemerdekaan di Stadium Merdeka misalnya, atau menjadi saksi kereta buatan Malaysia yang pertama meluncur laju semasa perasmian Jambatan Pulau Pinang tahun 1985 ataupun merasai detik mendebarkan bagaimana Malaysia mengalahkan Indonesia dan memenangi Piala Thomas pada tahun 1992 selepas kali terakhir memenanginya tahun 1967. Semua sejarah yang terpahat ini tidak akan berulang malah mereka yang mengalaminya sendiri pasti sukar untuk menggambarkannya semula.
Ia tentunya menjadi saat paling manis dalam hidup dan jika kita boleh berada di dalam kisah-kisah sejarah tersebut, tentunya lebih manis lagi. Peluang terhidang depan mata. Namun apakan daya, kita dilahirkan dalam kadar masa yang berbeza, persekitaran dan keperluan yang tidak mungkin sama. Malah latar belakang kita yang berbeza juga menyebabkan kesempatan untuk berada dalam gegelung sejarah tadi menjadi amat mustahil. Tetapi, rupa-rupanya langit tidak selalunya mendung dan ribut hujan telah berhenti jua. Peluang menjadi saksi sejarah tiba-tiba diusung ke muka pintu kita. Setelah menyaksikan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim menguburkan peseteruan lama mereka di mahkamah demi penyatuan rakyat, kita tahu yang sejarah itu ditulis oleh kita sendiri. Di saat Lim Kit Siang duduk sepentas bersama Dr Mahathir dan berkongsi sasaran menumbang Barisan Nasional, kita semua makin terpinga-pinga dengan aturan Tuhan yang tidak pernah terbayangkan walaupun seratus tahun lagi.
Dan apabila Dr Mahathir bersama bekas tokoh-tokoh besar Umno membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kemudiannya berkerjasama pula dengan musuh lama daripada parti-parti pembangkang, peluang menjadi saksi sejarah ini bagai terhidang tanpa dipaksa. Sejarah baru akan ditulis. Sudah tentunya yang paling manis ialah apabila kita akan diberi peluang mencipta sejarah baru menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang jauhnya hanya selang satu hela nafas Dato Seri Najib dengan kita. Ya. Kita bakal dinobatkan sebagai mereka yang mencipta sejarah menumbangkan Barisan Nasional. Kita semua. Sejarah akan ditulis buat pertama kalinya bahawa rakyat Malaysia bangkit dengan berani bersama semua bangsa tanpa batas agama, sama-sama berjuang membebaskan diri mereka dari belenggu kepayahan hidup dibawah pemerintahan Barisan Nasional. Anak-anak cucu-cicit kita pasti akan mengenang budi yang kita lakukan pada hari itu. Siapa sangka kita boleh menikmati rasa bangga menjadi sebahagian daripada sejarah itu nanti.
Kita semua akan berada di dalam sejarah baru yang akan ditulis itu nanti.Biarpun persempadanan semula diwarta segera atau beratus akta anti berita palsu digubal dan muncung senapangnya dihala kepada pembangkang, sejarah yang mahu dicipta ini tidak mampu ditahan-tahan lagi. Keinginan menjadi sebahagian daripada sejarah menumbangkan Barisan Nasional telah melangkaui segala cita-cita mulus yang lain. Siapa sangka peluang memahat sejarah baru buat tanahair tercinta ini betul-betul berada di depan mata. Siapa pernah menduga yang kita akan berada di dalamnya ketika sejarah yang sebegini agung bakal tercipta! – Roketkini.com
DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menembak mati 16 orang awam Palestin dalam satu demonstrasi aman yang berlaku semalam di sempadan Israel-Palestin.Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, penggunaan senjata api terhadap orang awam yang tidak bersenjata adalah satu perbuatan jenayah yang harus dikecam.
“Pengorbanan nyawa yang berlaku ini adalah amat dikesali dan mendukacitakan.“Saya berkongsi pendirian dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), António Guterres dalam menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menggesa agar komuniti antarabangsa, khususnya PBB, menggerakkan siasatan antarabangsa secara bebas terhadap insiden tersebut dan bukan sekadar mengecam.“Badan antarabangsa hak asasi manusia dan bantuan kemanusian seperti Amnesty International and International Committee of the Red Cross harus diberi akses untuk menyiasat kejadian ini.
“Sebarang pelanggaran hak asasi manusia atas alasan apa pun adalah tidak wajar dan mesti diambil tindakan tegas. DAP bersolidariti dengan semua keluarga mangsa yang terkorban dalam menuntut agar keadilan dapat ditegakkan,” kata beliau.Dalam insiden terbabit, seramai 1,416 rakyat Palestin dilapor media turut cedera apabila tentera Israel menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang awam yang sedang menunjuk perasaan.
Sebahagian yang cedera ini dilaporkan dalam keadaan tenat yang mungkin akan meningkatkan angka korban. – Roketkini.com