(3-4-2018)
DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menembak mati 16 orang awam Palestin dalam satu demonstrasi aman yang berlaku semalam di sempadan Israel-Palestin.Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, penggunaan senjata api terhadap orang awam yang tidak bersenjata adalah satu perbuatan jenayah yang harus dikecam.
“Pengorbanan nyawa yang berlaku ini adalah amat dikesali dan mendukacitakan.“Saya berkongsi pendirian dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), António Guterres dalam menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menggesa agar komuniti antarabangsa, khususnya PBB, menggerakkan siasatan antarabangsa secara bebas terhadap insiden tersebut dan bukan sekadar mengecam.“Badan antarabangsa hak asasi manusia dan bantuan kemanusian seperti Amnesty International and International Committee of the Red Cross harus diberi akses untuk menyiasat kejadian ini.
“Sebarang pelanggaran hak asasi manusia atas alasan apa pun adalah tidak wajar dan mesti diambil tindakan tegas. DAP bersolidariti dengan semua keluarga mangsa yang terkorban dalam menuntut agar keadilan dapat ditegakkan,” kata beliau.Dalam insiden terbabit, seramai 1,416 rakyat Palestin dilapor media turut cedera apabila tentera Israel menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang awam yang sedang menunjuk perasaan.
Sebahagian yang cedera ini dilaporkan dalam keadaan tenat yang mungkin akan meningkatkan angka korban. – Roketkini.com