Apa guna mengaku pendekar kalau biar rasuah berleluasa?

(3-4-2018)

Tidak ada gunanya mengaku sebagai ‘pendekar’ atau ‘pahlawan’ tapi membiarkan negara dilumuri ‘dosa-dosa’ rasuah lebih-lebih lagi melibatkan kepentingan rakyat dan negara. Mungkin itu cuba disampaikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib apabila memberi amaran agar tidak mencetuskan kemarahan ‘pendekar Bugis’.

“Saya pun tak berapa faham. Ini bukan soal pendekar Bugis ker tak Bugis. Apa makna pendekar jika kesannya kes-kes rasuah yang telah berlaku. “Apa makna pendekar sekalipun jika dalam kantung pendekar itu ada RM2.6 bilion yang (didakwa) dicuri daripada wang rakyat,” kata beliau dalam video di laman Facebook rasmi BERSATU. Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, Najib seolah-olah cuba meminggirkan tuduhan-tuduhan terhadapnya menggunakan ‘ayat pendekar Bugis’. “Dia harus faham sekarang rakyat sedang susah, rakyat menderita. “Rakyat tak kisah kau pendekar ker kau jadi apapun, itu bukan mereka fikirkan, yang penting ialah nasib mereka,” katanya lagi.

Sebelum ini, isu ‘derma’ RM2.6 bilion telah menggemparkan negara. Bagaimana pun, pemimpin-pemimpin UMNO sedaya upaya menafikan pengaliran wang tersebut ke akaun Perdana Menteri dan mendakwa ia merupakan konspirasi pihak pembangkang. Namun, SPRM kemudiannya telah mengesahkan bahawa wang yang didakwa masuk ke akaun Najib itu adalah sumbangan derma dan bukannya dari 1MDB. Najib turut mengakui wang RM2.6 bilion di dalam bank akaun peribadinya itu merupakan ‘derma’ daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi dan diakakui akan digunakan untuk kemajuan parti, mempertahan Ahlussunnah Wal Jamaah dan memerangi militan.

Anehnya, Najib dilapor telah memulangkan sebahagian besar dana yang diterima daripada keluarga diraja Arab Saudi tersebut manakala Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan sebanyak USD620 juta atau RM2.03 bilion dikembalikan semula pada Ogos 2013 kerana tidak digunakan. Lebih menimbulkan tanda tanya, Kementerian kewangan dan kementerian luar negara Arab Saudi tidak tahu menahu mengenai sumbangan itu kepada Najib. – Roketkini.com