Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini menyerahkan cek berjumlah RM25 juta kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Rawa untuk disalurkan ke 228 sekolah pondok dan sekolah agama rakyat yang berdaftar. Peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 berkenaan adalah sebahagian inisiatif kerajaan Pakatan Harapan untuk membantu melicinkan operasi institusi terbabit.
“Lazimnya peruntukan akan diberikan secara berfasa sepanjang tahun dan bukan pada Januari, tapi saya rasa harus diberikan awal supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri dapat buat perancangan yang lebih teratur dan menyeluruh supaya bantuan sampai secepat mungkin. “Pengagihan kelak akan mengikut budi bicara pihak Mujahid, kita tidak letak syarat hanya janganlah ada unsur politik sama ada dalam perniagaan, media dan juga pendidikan, institusi sekolah pondok tidak boleh dimiliki ahli atau parti politik,” kata Guan Eng kepada pemberita di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. Turut hadir pada sesi penyerahan cek tersebut adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.
Pakatan Harapan (PH) harus dilihat berbeza daripada Barisan Nasional (BN) dalam soal pemberian kontrak kerajaan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Bercakap kepada pemberita selepas hadir pada majlis lawatan kerja bertemu NGO Gelandangan di Anjung Singgah Kuala Lumpur, semalam, katanya, sebarang permohonan kontrak kerajaan perlu melalui proses tender terbuka. “Kita sokong tender terbuka dan kita sokong golongan yang layak mendapatkan kontrak yang betul-betul cekap dan hanya yang boleh buat kerja akan dapatkan tender tersebut, tak kira apa parti sekali pun,” katanya.
Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata proses pemberian kontrak sedia ada perlu diteliti kerana terdapat situasi di mana harga melambung tinggi. “Kita nak kontraktor tahu ini adalah kerajaan baru, we want value for money,” katanya. Beliau turut diminta mengulas mengenai cadangan Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman supaya ketua-ketua bahagian dan cawangan parti itu diberikan projek kerajaan. “Saya tak sokong langsung (cadangan tersebut), saya percaya banyak MP PH juga tidak sokong cadangan ini. “Kita dipilih oleh rakyat Malaysia untuk satu pentadbiran yang bersih dan baru, malah cara pentadbiran kita mesti berbeza daripada yang lepas (BN),” katanya. Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu bulan lalu, Abdul Rashid mencadangkan agar kontrak kerajaan diberikan kepada kepada ketua bahagian dan cawangan bagi membolehkan mereka menambah dana untuk menggerakkan parti.
Ia bagaimanapun mendapat tentang pelbagai pihak kerana dilihat mengikut amalan BN sebelum ini.