IPOH: Rata-rata peniaga dan pengunjung di Pasar Tanjung Rambutan dekat Hulu Kinta, di sini, menyeru perhatian daripada pihak berkuasa tempatan agar dapat membaiki dan menambah baik fasiliti yang ada. Salah seorang peniaga warung makanan, Wong Yong Bock, 61, dia berpuas hati dengan tahap kebersihan di pasar tersebut namun katanya, beberapa penambah baikkan harus diambil perhatian khususnya melibatkan siling yang berlubang di premisnya, Ujarnya, masalah tersebut sedikit sebanyak telah menggusarkan dia dan pekerjanya.
“Saya bimbang siling yang berlubang itu akan semakin besar dan juga bimbang kemungkinan akan mencederakan kami kelak,” katanya. Bukan setakat di dalam premis perniagaan namun, hasil tinjauan PerakToday ke pasar tersebut baru-baru ini, terdapat juga siling yang juga berlubang di kawasan tempat pelanggan menikmati juadah sarapan pagi. Nur Fauziah Latiff, 41, menzahirkan kebimbangan yang sama terhadap keselamatannya sebagai pelanggan. Selain itu, dia turut berharap agar beberapa kipas di kawasan medan selera di Pasar Tanjung Rambutan yang rosak segera dibaiki. “Saya rasa ia sudah lama tidak berfungsi. Kadang-kadang saya berasa kasihan melihat ada anak kecil yang menangis di sebabkan keadaan cuaca yang agak panas,” katanya.
Pada masa sama, bagi salah seorang peniaga gerai makanan yang mahu dikenali sebagai Lan, 44, dia merayu agar mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab tidak lagi melepaskan kucing ke pasar tersebut. Jelasnya, keadaan kucing yang terlalu banyak di sekitar medan selera itu mengundang rasa tidak selesa kepada sesetengah pelanggannya. “Saya tidak kisah jika kucing seekor dua. Tetapi ini jumlahnya terlalu banyak. Sehinggakan ada beberapa ekor kucing yang sakit, sengaja dilepaskan ke sini. Ini sesuatu yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya. Dalam pada itu, bagi N. Kumaran, 52, keadaan longkang yang sempit di dalam kawasan pasar, ditambah dengan beberapa sampah yang termasuk ke dalam longkang itu, telah menyebabkan aliran airnya tersangkut.
Katanya, ia telah mengundang kepada aktiviti pembiakan nyamuk aedes. “Saya berharap pihak berkuasa dapat mendalamkan lagi longkang di dalam pasar ini. Sampah seperti sisa sayur dan bahan-bahan lain memang kadang-kadang tidak dapat dielakkan daripada masuk ke longkang tersebut,” jelasnya. Selain itu, Fatimah Ahmad, 48, pula berharap agar pihak berkuasa tempatan dapat menyediakan kipas di dalam pasar. Katanya, cuaca semasa yang kian tidak menentu ada kalanya membuatkan pelanggan dan peniaga berasa tidak selesa, khususnya apabila tiba musim cuaca panas. Kesemua masalah tersebut diadukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dalam siri lawatannya ke Pasar Tanjung Rambutan baru-baru ini. Program tersebut turut disertai beberapa pegawai daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Kesihatan Perak, Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Dalam sidang media selepas tinjauan tersebut, Muhamad Arafat berkata kesemua aduan telah pun diambil perhatian dan ianya akan diselesaikan secepat mungkin.
IPOH- Jepun dilihat sebagai pencabar utama bagi kejohanan Piala Hoki Sultan Azlan Shah berikutan telah menjuarai perlawanan hoki Sukan Asia tahun lalu. Pengerusi Kejohanan, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, jika dilihat dari kedudukan dunia, India adalah pencabar utama Malaysia tetapi kini pencabar yang paling utama adalah Jepun. “Peluang untuk Malaysia menempa nama bagi Piala Hoki Sultan Azlan Shah dilihat sangat cerah untuk ke pertandingan akhir,”katanya semasa dalam satu sidang media di Hotel Impianan di sini hari ini.
Selain itu katanya, perlawanan hoki lalu antara Malaysia dan Jepun tidak memberi kepuasan kepada rakyat Malaysia kerana pada awalnya Malaysia telah mendahului dan akhirnya tewas pada Jepun. “Rakyat Malaysia berpeluang melihat semula perlawanan antara Malaysia dan Jepun dan saya rasa ini amat ditunggu-tunggu,”katanya. Tambah beliau lagi, pasukan utama Eropah tidak terlibat dalam kejohanan edisi kali ini kerana Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menganjurkan FIH Pro League yang bermula dari bulan Januari sehingga bulan Jun. Bagi penganjuran Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah bagi Edisi ke-28, enam pasukan bakal bertanding dan kejohanan diadakan pada 23 Mac hingga 30 Mac 2019 bertempat di Stadium Sultan Azlan Shah.
Negara berkenaan termasuklah India, Canada, Malaysia, Afrika Selatan, Korea dan Jepun, ketibaan mereka dijangkakan pada 9 Mac ini.