Jepun Sebagai Pencabar Utama

IPOH- Jepun dilihat sebagai pencabar utama bagi kejohanan Piala Hoki Sultan Azlan Shah berikutan telah menjuarai perlawanan hoki Sukan Asia tahun lalu. Pengerusi Kejohanan, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, jika dilihat dari kedudukan dunia, India adalah pencabar utama Malaysia tetapi kini pencabar yang paling utama adalah Jepun. “Peluang untuk Malaysia menempa nama bagi Piala Hoki Sultan Azlan Shah dilihat sangat cerah untuk ke pertandingan akhir,”katanya semasa dalam satu sidang media di Hotel Impianan di sini hari ini.

Selain itu katanya, perlawanan hoki lalu antara Malaysia dan Jepun tidak memberi kepuasan kepada rakyat Malaysia kerana pada awalnya Malaysia telah mendahului dan akhirnya tewas pada Jepun. “Rakyat Malaysia berpeluang melihat semula perlawanan antara Malaysia dan Jepun dan saya rasa ini amat ditunggu-tunggu,”katanya. Tambah beliau lagi, pasukan utama Eropah tidak terlibat dalam kejohanan edisi kali ini kerana Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menganjurkan FIH Pro League yang bermula dari bulan Januari sehingga bulan Jun. Bagi penganjuran Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah bagi Edisi ke-28, enam pasukan bakal bertanding dan kejohanan diadakan pada 23 Mac hingga 30 Mac 2019 bertempat di Stadium Sultan Azlan Shah.

Negara berkenaan termasuklah India, Canada, Malaysia, Afrika Selatan, Korea dan Jepun, ketibaan mereka dijangkakan pada 9 Mac ini.