Mungkin ada di antara kita telah lupa akan penderitaan yang ditanggung Puan Pendek binti Ahmad yang mengetahui cucu perempuannya, Noryati binti Mohamad Yusop yang ketika itu berumur 14 tahun dirogol. Perogol itu masih bebas berleluasa. Mungkin juga tak ramai yang ingat pemenjaraan Menteri Kewangan Pakatan Harapan ketika beliau masih seorang wakil rakyat pembangkang pada tahun 1998. Beliau yang membela penderitaan Noryati dan Puan Pendek pula dihumban ke penjara. Tetapi keluarga Lim Guan Eng dan keluarga Noryati binti Mohamad Yusop ingat. Rakyat yang prihatin juga ingat. Semua mereka yang berjuang sejak awal masih ingat.
Rahim Thamby Chik tidak pernah muncul apabila Tun Mahathir membuat keputusan untuk berganding dengan Dato Seri Anwar Ibrahim dalam menyelamatkan Negara menentang UMNO dan BN. Perjuangan dan pengorbanan telah menghasilkan kemenangan rakyat — dan si Rahim Thamby Chik tidak ada sebarang titik peluh keringat langsung yang menyumbangkan ke arah perjuangan ini. Malah, si politikus inilah yang merupakan salah seorang dari ‘Trio Datuk’ telah menyerang Dato Seri Anwar Ibrahim dengan telatah politik fitnah, menayangkan video lucah yang beliau dakwa merakamkan aksi seorang lelaki mirip Dato Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan pelacur. Permohonan Rahim Thamby Chik untuk memasuki Bersatu, adalah hak beliau sendiri. Tetapi terima atau tidak adalah hak pimpinan parti Bersatu. BERSATU adalah parti yang kami hormati sebagai rakan seperjuangan, yang telah berganding bahu, berputih tulang bersama dengan AMANAH dan KEADILAN, membebaskan negara kita dari cengkaman UMNO BN. Kita punya setiakawan dan persahabatan yang telah teruji dan tetap kukuh.
Penerimaan Rahim Thamby Chik akan dibaca dan ditafsir oleh rakyat sebagai suatu pengkhianatan kepada setiakawan dan persahabatan yang telah kita jalin sepanjang perjuangan. – Roketkini.com
Penghijrahan adakalanya menjadi puncak kepada sesebuah perjuangan. Mereka yang bergelumang dengan pelbagai sebab dan kepercayaan untuk membuat perubahan sentiasa menuntut hasil yang seperti ini. Berhijrah kepada yang lebih baik adalah apa yang kita imani di atas pelantar perjuangan ini. Malah dalam konteks politik pendemokrasian – pergelutan untuk mengeluarkan rakyat ke kedudukan yang lebih baik mempunyai cabarannya yang tersendiri. Inilah cabaran ketika kita mengajak manusia yang merosakkan menjadi manusia yang membawa kebaikan.
Penghijrahan itulah idealnya. Itulah tujuannya asalnya. Kita mahu memperbaiki negara dan menjaga kebajikan rakyat. Maka apabila berbondong-bondong pemimpin pembangkang dari UMNO yang mula mengisytihar diri menjadi blok Bebas lalu memberi sokongan kepada blok Pakatan Harapan (PH) dan kemudian menyertai Bersatu – maka kita mula mempersoal mengapa penghijrahan seperti ini mahu pula dihalang? Mengapa kita terjentik dengan fenomena aneh ini? Semacam kita sedang berlanggar dengan idea kita sendiri – mengajak orang berubah dan bila ada yang mahu berubah, kita menjadi gusar. Betulkah begitu? Ayuh kita imbas semula mengapa kemenangan PRU-14 yang lalu menjadi begitu signifikan buat rakyat Malaysia dan saling berkait rapat dengan isu melompat ini.
Dari kisah yang berada di luar negara dinafikan mengundi melalui undi pos, logo Pakatan Harapan yang dinafi untuk digunakan, pendaftaran parti Bersatu cuba diharamkan, pemilihan parti DAP sengaja dipertikaikan, hari pilihanraya dijalankan pada hari Rabu – ya, PRU pada hari bekerja -, gambar calon Perdana Menteri diturunkan dari poster kempen serta pelbagai percubaan lain untuk menggagalkan kemenangan PH; semuanya tidak lain hanya bertujuan mengekalkan mereka yang hari ini mahu dan telah pun melompat menyertai Pakatan Harapan dan Bersatu. Berasa terhina. Kesemua tindakan tersebut hanya bertujuan untuk mengekalkan satu-satunya pemimpin yang memalukan negara dan bertujuan mempertahankan segerombolan mereka yang membiarkan dana awam dirompak di siang hari di depan batang hidung. Tidak ada tujuan lain. Malah mereka yang melompat ini dahulunya tidak sedikit pun bersuara membantah tindak tanduk pemimpin mereka ketika itu. Puji-pujian melambung ada lah!
Tidakkah kita berasa begitu hina untuk menerima mereka yang seperti ini? Jika anda tidak, saya akui, sebagai pengundi yang benar-benar mengharapkan perubahan dari kerosakan yang dilakukan oleh mereka ini, saya benar-benar terhina. Maruah dan harga diri saya bagai disiat-siat apabila melihat dengan mudahnya kita menerima mereka yang melompat ini. PH sepatutnya memperbaiki negara akibat kerosakan yang dibuat oleh mereka yang disokong oleh pemimpin-pemimpin yang melompat ini dan bukannya menerima mereka. PH mendapat sokongan termasuk dari kalangan mereka yang tidak berparti. Mereka memberi kita kemenangan bukan untuk kita terima pemimpin yang melompat ini. Pendirian kita harus keras dan tegas. Anda boleh nyatakan sokongan – namun cukup sekadar di luar gelanggang dahulu. Takkanlah mereka boleh dengan tiba-tiba menjadi insaf dan baru menyedari segala durjana dibawa oleh Najib kepada negara walaupun berbuih mulut pemimpin PH melaungkannya sewaktu menjadi pembangkang dulu? Garis pemisah antara hak dan batil masih sama sebelum dan selepas pilihanraya.
Bersangka baik itu baik? Polisi ekonomi yang memberi kesan langsung kepada rakyat tidak pula dibantah oleh mereka ini ketika itu. Mencebik pun tidak! Takkanlah waktu itu mereka tidak membaca laporan-laporan media mengenai presiden mereka atau tidakkah mereka tahu lebih awal salah laku bekas presiden mereka dan memilih untuk mendiamkan diri sebelum kerajaan PH datang membongkarnya? Atau adakah mereka sebenarnya menjadi cemas menyaksikan siri pendakwaan dan penangkapan ke atas bekas pemimpin mereka dan mula mencari dahan baru untuk berpaut bagi menyelamatkan diri? Takkanlah kita menjadi terlalu naif untuk memahami ‘penghijrahan’ ini? Bagaimana jika BN kekal di Putrajaya? Inilah persoalan besarnya. Jangan ditanya mereka yang melompat akan persoalan asas ini – tanyalah diri anda sendiri. Apakah mereka yang melompat ini akan ‘hilang kepercayaan kepada Najib dan UMNO’ jika BN menang PRU14 tempoh hari?
Adakah mereka akan beramai-ramai menyertai Bersatu seperti hari ini jika BN masih kekal dan berkuasa di Putrajaya? Malang buat Bersatu jika mereka gagal memahami sifir mudah ini. Adakah kuasa telah menjadikan Bersatu begitu naif atau DNA UMNO masih kuat membalut urat nadi parti Bersatu sehingga lupa hasrat pengundi pada PRU yang lalu? Agenda perubahan yang kita peluk bukan sekadar menyebut-nyebut supaya kuat bekerja walhal cara bekerja yang kuat itu dibuat dengan cara membelakangi mereka yang memberi kemenangan kepada kita. Jika mereka boleh mengkhianati parti lama mereka yang sudah dikalahkan, tidak mustahil mereka akan mengkhianati kita di kemudian hari. Mereka perlu belajar menerima erti kekalahan dan kita pula perlu memberi pengajaran supaya rakyat akan benar-benar faham kesungguhan kita untuk membuat perubahan dan menawarkan pilihan siapa yang lebih baik di masa hadapan.
Ya, keinsafan selalunya datang selepas malapekata yang menundukkan nafsu. Namun, keinsafan ini juga datang seperti air hujan banjir, walaupun ia hadir membersihkan tanah gersang yang kering kontang, tetapi ia datang bersekali sampah sarap yang hanyut bersama-samanya! – Roketkini.com
Apa sudah jadi pada laungan “Hidup UMNO”?. Laungan ini nampaknya kian sirna daripada arena politik Malaysia. Bukan pemimpin kecil – kecil yang melompat keluar dari UMNO, tetapi pemimpin senior berpengalaman juga kecut lari menyelamat diri. Mungkin mereka ini khuatir dengan contoh – contoh yang ditunjukkan depan mata mereka. Najib Razak yang dulunya mereka ampu puji kini kerjanya masuk lokap dan keluar lokap. Azeez Rahim yang dulu singa garang kini menjadi tikus yang tertambat dengan kemelut Tabung Haji. Presiden UMNO sendiri, Zahid Hamidi pula nampaknya hanya menunggu masa. Maka bergetarlah hati – hati para pemimpin UMNO yang merasakan giliran mereka juga sudah berada di hujung simpang.
Beranilah Kerana Benar, Takut Kerana Salah. Pesan saya kepada pemimpin UMNO yang sedang khuatir ini, beranilah kerana benar dan takutlah kerana salah. Teruslah berjuang sebagai pembangkang yang jujur, ikhlas dan berani. Setiap pemerintah memerlukan pembangkang yang berkesan. Pembangkang yang kuat akan menjadi agen semak dan imbang yang penting dalam memastikan urustadbir negara sentiasa terpandu mengikut kepentingan rakyat. Jika pembangkang benar – benar berkerja jujur, tekad, ikhlas dan konsisten, lambat laun pihak pembangkang yang baik akan menjadi kerajaan juga seperti yang diperolehi Pakatan Harapan hari ini. Tapi kerjanya tidak mudah. Pihak Pembangkang suatu ketika dahulu terpaksa menempuh lokap, berbaring di atas jalan raya, badan dipijak, baju dikoyak, pedih mata dek gas pemedih mata, diaibkan melalui media – media arus perdana, malah ada yang dipenjara bertahun – tahun.
Kerja Pembangkang Hari Ini Lebih Mudah. Bukan niat untuk bernostalgia dengan romantisme lama, tetapi ingin memberitahu kepada para pemimpin UMNO betapa beruntungnya mereka. Kerja mereka sebagai Pembangkang hari ini sangat mudah hasil usaha Pembangkang terdahulu. Rakyat sudah cukup matang dan kritikal dalam menilai. Kebijaksanaan rakyat ini menjadikan tidak terlalu susah untuk Kerajaan bertukar tangan. Pembangkang juga hari ini ada ruang seluas – luasnya untuk tampil menerusi media arus perdana. Berdemonstrasi juga bebas tanpa ada provokasi daripada pihak Kerajaan. Lalu apa sebenarnya yang ditakutkan pemimpin UMNO yang melompat ini? Apa Yang Pelompat Risaukan ? Jika alasannya mereka tidak biasa menjadi pembangkang, maka inilah masanya untuk mereka menerima hakikat yang rakyat telah memilih Kerajaan baharu dan meletakkan UMNO sebagai pembangkang.
Jika alasannya mereka ingin menyumbang tenaga sebagai Kerajaan, mereka perlu tahu bahawa Malaysia baharu ini tidak lagi seperti Kerajaan terdahulu yang meminggirkan Pembangkang. Mereka boleh pada bila – bila masa terlibat, memberi pandangan dan sumbang saran untuk memantapkan agenda rakyat. Atau sebenarnya para pelompat UMNO ini gelisah kehilangan elaun beribu-ribu ringgit sebulan?, atau mereka terlalu janggal untuk hidup tanpa kuasa untuk meluluskan projek dan menerima lobi – lobi para kontraktor?, atau mereka tak biasa hidup tanpa menggunakan aset – aset Kerajaan yang digunakan seperti harta peribadi sebelum ini? Atau yang paling mungkin adalah, mereka – mereka ini sedang merayu untuk tidak diberi nasib yang serupa seperti Najib Razak, Azeez Rahim dan Zahid Hamidi.
Pembangkang Yang Kuat Perlu Lebih Dihormati Berbanding Para Pengecut Yang Melompat. Sewajarnya jika pemimpin dan anggota UMNO merasakan UMNO tidak lagi kuat seperti dahulu, maka mereka perlu berusaha untuk membawa kembali UMNO ke landasan perjuangan yang lebih relevan. Bukannya masing – masing melompat untuk menyelamatkan nasib sendiri. Betapa palsunya kesetiaan yang dicanang sebelum ini apabila begitu mudah para pelompat ini meninggalkan bahtera lama mereka yang sedang diuji. Justeru, saya merakam setinggi – tinggi rasa hormat kepada rakan – rakan UMNO yang masih setia dalam UMNO. Saya merasakan UMNO akan tampil lebih kuat setelah gelombang ini berlalu. UMNO yang kuat bermakna pihak pembangkang juga akan lebih kuat. Pembangkang yang kuat akan membawa banyak manfaat untuk rakyat.
Pakatan Harapan Perlu Berhati – hati Menerima Sang Pelompat. Kerajaan Pakatan Harapan juga perlu berhati – hati dalam menerima kehadiran bertali arus para pelompat ini. Jika mereka ini benar – benar mahu membantu Kerajaan, mereka boleh saja berperanan daripada meja pembangkang. Kerajaan baharu juga perlu sentiasa bermuhasabah. Apakah layanan yang sewajarnya telah diberikan kepada pihak Pembangkang ?. Jangan sampai Pembangkang hari ini merasakan perkara yang sama seperti yang dilakukan Kerajaan terdahulu. Suara Pembangkang tidak didengari dan kehadiran di Parlimen sekadar untuk mendengar pengumuman – pengumuman sebelah pihak Kerajaan. Malah para pelompat ini perlu melalui proses tapisan yang ketat. Majoriti rakyat telah menghukum UMNO pada Pilihan Raya Umum yang lepas, lalu bagaimana Pakatan Harapan boleh mudah – mudah menerima pelompat ini dengan anggapan mereka sudah ‘bertaubat’. – Roketkini.com
Ketika negara sedang dilanda pelbagai isu-isu kulitan seputar pertembungan politik perkauman sempit, dua orang timbalan menteri mengambil peluang bermuzakarah tentang isu-isu yang lebih penting dan membumi. Bukan muzakarah biasa, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Hannah Yeoh, serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim; berkunjung ke pejabat Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan. “Kami berdiskusi berkenaan isu-isu kebajikan kanak-kanak, perkahwinan,perceraian dan lain-lain yang berkaitan portfolio kementerian.
“Saya mengharapkan hubungan kerjasama ini akan berterusan untuk masa depan Malaysia yang lebih baik,” tulis Dr Zulkifli di laman Facebook rasminya, berkenaan kunjungan hormat terbabit. Pertemuan tertutup yang berlangsung lebih sejam itu menyaksikan perbincangan antara seputar isu buang bayi, penderaan kanak-kanak, penyalahgunaan dadah serta masalah-masalah sosial yang berakar dalam masyarakat. Hannah sempat membentangkan angka-angka membimbangkan hasil dapatan kementeriannya tentang isu-isu terbabit, dalam rangka mendapatkan maklumbalas dan nasihat pihak mufti tentang bagaimana langkah-langkah sesuai boleh diambil bagi menjalankan proses pemulihan dan kaunseling. Bercakap kepada media selepas pertemuan tersebut, Dr Zulkifli menyatakan komitmen jabatannya untuk membantu kerajaan melalui nasihat dan saranan bagi menangani isu-isu masyarakat. “Sekarang sudah bukan masa untuk bercakap, sebaliknya bertindak,” ujar beliau.
Usai pertemuan terbabit, kedua-dua timbalan menteri dihadiahkan satu set tiga jilid naskhah Bayan Linnas, kompilasi tulisan mufti terbabit yang memberi pelbagai penjelasan isu-isu semasa. – Roketkini.com