Ketika negara sedang dilanda pelbagai isu-isu kulitan seputar pertembungan politik perkauman sempit, dua orang timbalan menteri mengambil peluang bermuzakarah tentang isu-isu yang lebih penting dan membumi. Bukan muzakarah biasa, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Hannah Yeoh, serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim; berkunjung ke pejabat Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan. “Kami berdiskusi berkenaan isu-isu kebajikan kanak-kanak, perkahwinan,perceraian dan lain-lain yang berkaitan portfolio kementerian.
“Saya mengharapkan hubungan kerjasama ini akan berterusan untuk masa depan Malaysia yang lebih baik,” tulis Dr Zulkifli di laman Facebook rasminya, berkenaan kunjungan hormat terbabit. Pertemuan tertutup yang berlangsung lebih sejam itu menyaksikan perbincangan antara seputar isu buang bayi, penderaan kanak-kanak, penyalahgunaan dadah serta masalah-masalah sosial yang berakar dalam masyarakat. Hannah sempat membentangkan angka-angka membimbangkan hasil dapatan kementeriannya tentang isu-isu terbabit, dalam rangka mendapatkan maklumbalas dan nasihat pihak mufti tentang bagaimana langkah-langkah sesuai boleh diambil bagi menjalankan proses pemulihan dan kaunseling. Bercakap kepada media selepas pertemuan tersebut, Dr Zulkifli menyatakan komitmen jabatannya untuk membantu kerajaan melalui nasihat dan saranan bagi menangani isu-isu masyarakat. “Sekarang sudah bukan masa untuk bercakap, sebaliknya bertindak,” ujar beliau.
Usai pertemuan terbabit, kedua-dua timbalan menteri dihadiahkan satu set tiga jilid naskhah Bayan Linnas, kompilasi tulisan mufti terbabit yang memberi pelbagai penjelasan isu-isu semasa. – Roketkini.com