Yang menang tulis sejarah, yang kalah lompat parti

Penghijrahan adakalanya menjadi puncak kepada sesebuah perjuangan. Mereka yang bergelumang dengan pelbagai sebab dan kepercayaan untuk membuat perubahan sentiasa menuntut hasil yang seperti ini. Berhijrah kepada yang lebih baik adalah apa yang kita imani di atas pelantar perjuangan ini. Malah dalam konteks politik pendemokrasian – pergelutan untuk mengeluarkan rakyat ke kedudukan yang lebih baik mempunyai cabarannya yang tersendiri. Inilah cabaran ketika kita mengajak manusia yang merosakkan menjadi manusia yang membawa kebaikan.

Penghijrahan itulah idealnya. Itulah tujuannya asalnya. Kita mahu memperbaiki negara dan menjaga kebajikan rakyat. Maka apabila berbondong-bondong pemimpin pembangkang dari UMNO yang mula mengisytihar diri menjadi blok Bebas lalu memberi sokongan kepada blok Pakatan Harapan (PH) dan kemudian menyertai Bersatu – maka kita mula mempersoal mengapa penghijrahan seperti ini mahu pula dihalang? Mengapa kita terjentik dengan fenomena aneh ini? Semacam kita sedang berlanggar dengan idea kita sendiri – mengajak orang berubah dan bila ada yang mahu berubah, kita menjadi gusar. Betulkah begitu? Ayuh kita imbas semula mengapa kemenangan PRU-14 yang lalu menjadi begitu signifikan buat rakyat Malaysia dan saling berkait rapat dengan isu melompat ini.

Dari kisah yang berada di luar negara dinafikan mengundi melalui undi pos, logo Pakatan Harapan yang dinafi untuk digunakan, pendaftaran parti Bersatu cuba diharamkan, pemilihan parti DAP sengaja dipertikaikan, hari pilihanraya dijalankan pada hari Rabu – ya, PRU pada hari bekerja -, gambar calon Perdana Menteri diturunkan dari poster kempen serta pelbagai percubaan lain untuk menggagalkan kemenangan PH; semuanya tidak lain hanya bertujuan mengekalkan mereka yang hari ini mahu dan telah pun melompat menyertai Pakatan Harapan dan Bersatu. Berasa terhina. Kesemua tindakan tersebut hanya bertujuan untuk mengekalkan satu-satunya pemimpin yang memalukan negara dan bertujuan mempertahankan segerombolan mereka yang membiarkan dana awam dirompak di siang hari di depan batang hidung. Tidak ada tujuan lain. Malah mereka yang melompat ini dahulunya tidak sedikit pun bersuara membantah tindak tanduk pemimpin mereka ketika itu. Puji-pujian melambung ada lah!

Tidakkah kita berasa begitu hina untuk menerima mereka yang seperti ini? Jika anda tidak, saya akui, sebagai pengundi yang benar-benar mengharapkan perubahan dari kerosakan yang dilakukan oleh mereka ini, saya benar-benar terhina. Maruah dan harga diri saya bagai disiat-siat apabila melihat dengan mudahnya kita menerima mereka yang melompat ini. PH sepatutnya memperbaiki negara akibat kerosakan yang dibuat oleh mereka yang disokong oleh pemimpin-pemimpin yang melompat ini dan bukannya menerima mereka. PH mendapat sokongan termasuk dari kalangan mereka yang tidak berparti. Mereka memberi kita kemenangan bukan untuk kita terima pemimpin yang melompat ini. Pendirian kita harus keras dan tegas. Anda boleh nyatakan sokongan – namun cukup sekadar di luar gelanggang dahulu. Takkanlah mereka boleh dengan tiba-tiba menjadi insaf dan baru menyedari segala durjana dibawa oleh Najib kepada negara walaupun berbuih mulut pemimpin PH melaungkannya sewaktu menjadi pembangkang dulu? Garis pemisah antara hak dan batil masih sama sebelum dan selepas pilihanraya.

Bersangka baik itu baik? Polisi ekonomi yang memberi kesan langsung kepada rakyat tidak pula dibantah oleh mereka ini ketika itu. Mencebik pun tidak! Takkanlah waktu itu mereka tidak membaca laporan-laporan media mengenai presiden mereka atau tidakkah mereka tahu lebih awal salah laku bekas presiden mereka dan memilih untuk mendiamkan diri sebelum kerajaan PH datang membongkarnya? Atau adakah mereka sebenarnya menjadi cemas menyaksikan siri pendakwaan dan penangkapan ke atas bekas pemimpin mereka dan mula mencari dahan baru untuk berpaut bagi menyelamatkan diri? Takkanlah kita menjadi terlalu naif untuk memahami ‘penghijrahan’ ini? Bagaimana jika BN kekal di Putrajaya? Inilah persoalan besarnya. Jangan ditanya mereka yang melompat akan persoalan asas ini – tanyalah diri anda sendiri. Apakah mereka yang melompat ini akan ‘hilang kepercayaan kepada Najib dan UMNO’ jika BN menang PRU14 tempoh hari?

Adakah mereka akan beramai-ramai menyertai Bersatu seperti hari ini jika BN masih kekal dan berkuasa di Putrajaya? Malang buat Bersatu jika mereka gagal memahami sifir mudah ini. Adakah kuasa telah menjadikan Bersatu begitu naif atau DNA UMNO masih kuat membalut urat nadi parti Bersatu sehingga lupa hasrat pengundi pada PRU yang lalu? Agenda perubahan yang kita peluk bukan sekadar menyebut-nyebut supaya kuat bekerja walhal cara bekerja yang kuat itu dibuat dengan cara membelakangi mereka yang memberi kemenangan kepada kita. Jika mereka boleh mengkhianati parti lama mereka yang sudah dikalahkan, tidak mustahil mereka akan mengkhianati kita di kemudian hari. Mereka perlu belajar menerima erti kekalahan dan kita pula perlu memberi pengajaran supaya rakyat akan benar-benar faham kesungguhan kita untuk membuat perubahan dan menawarkan pilihan siapa yang lebih baik di masa hadapan.

Ya, keinsafan selalunya datang selepas malapekata yang menundukkan nafsu. Namun, keinsafan ini juga datang seperti air hujan banjir, walaupun ia hadir membersihkan tanah gersang yang kering kontang, tetapi ia datang bersekali sampah sarap yang hanyut bersama-samanya! – Roketkini.com