Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago tampil menyatakan sokongan terhadap Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendapat tentangan akar umbi dari partinya ekoran lantang menentang cadangan pemberian kontrak kepada ketua bahagian bagi tujuan politik. Charles turut menggesa kepimpinan Pakatan Harapan menyokong Menteri Belia dan Sukan itu dalam mesyuarat yang diadakan mereka hari ini bagi membincangkan isu tersebut.
“Saya menyokong beliau (Syed Saddiq) sepenuhnya kerana kita tidak mahu politik wang menguasai Pakatan Harapan. “Dan saya sekeras-kerasnya mengutuk usaha boikot terhadap Syed Saddiq yang digerakkan oleh pemimpin akar umbi yang tanpa segan silu memberikan alasan mereka hilang segalanya apabila meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. Naib Presiden Bersatu Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu minggu lalu sependapat dengan wakil Wilayah Persekutuan, Mohd Shahni Ismail, ketua bahagian Bandar Tun Razak, yang dalam ucapannya meminta kontrak dan jawatan kerajaan diberi kepada pimpinan parti. Ia bagaimanapun mendapat tentangan Syed Saddiq yang menyifatkan ia sebagai tidak masuk akal. “Perwakilan Wilayah Persekutuan tadi, sampai berani sebut menteri yang menjanjikan (kontrak). “Bayangkan itu boleh jadi kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mana boleh, janji (kontrak) pergi jumpa menteri. Perhimpunan UMNO pun tak berani bincang ini (kontrak), mana maruah kita,” katanya.
Charles berkata, beliau tidak ada masalah sekiranya ketua bahagian Bersatu sememangnya merupakan ahli perniagaan yang berjaya, namun mereka harus melalui proses yang telus dalam mendapatkan sebarang kontrak kerajaan. “Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Dan jika kita tutup mata, kita tidak ada bezanya dengan Umno. “Bagaimana kita menangani isu ini amat penting kerana rakyat sedang memerhatikan setiap gerak geri kita,” ujarnya.
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang membidas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) melakukan “rompakan di siang hari” dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands. “Jika Pakatan Harapan salah guna kuasa dan salah guna sumber kerajaan, saya tidak akan terperangkap di Kampung Orang Asli Simoi Lama pada ambang Tahun Baharu, kerana sudah pasti akan dihantar sebuah helikopter untuk membawa keluar saya dari kampung tersebut.
“Bayangkan jika Najib masih perdana menteri dan terperangkap di Kampung Orang Asli Simoi lama pada ambang Tahun Baharu, terputus dari dunia luar? Tidak dapat dibayangkan! “Namun, tidak ada helikopter yang mengangkut saya keluar dari Kampung Orang Asli Simoi Lama pada ambang Tahun Baharu, sekaligus bukti paling kukuh bahawa Pakatan Harapan tidak seperti Umno atau Barisan Nasional,” tegasnya dalam kenyataan, hari ini. Sebelum ini, Kit Siang berkata, PH melakukan “keajaiban” jika menang PRK Cameron Highlands kerana kerusi itu sekian lama menjadi deposit tetap BN. Namun, Annuar Musa memperkecilkan kenyataan itu dengan mendakwa kononnya PRK itu diadakan di atas “padang yang tidak rata” dan mendakwa PH melakukan “rompakan siang hari” dalam PRK itu.
Untuk rekod, PRK Cameron Highlands diadakan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.