Jangan ikut cara BN dalam soal pemberian kontrak, kata Hannah Yeoh

Pakatan Harapan (PH) harus dilihat berbeza daripada Barisan Nasional (BN) dalam soal pemberian kontrak kerajaan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Bercakap kepada pemberita selepas hadir pada majlis lawatan kerja bertemu NGO Gelandangan di Anjung Singgah Kuala Lumpur, semalam, katanya, sebarang permohonan kontrak kerajaan perlu melalui proses tender terbuka. “Kita sokong tender terbuka dan kita sokong golongan yang layak mendapatkan kontrak yang betul-betul cekap dan hanya yang boleh buat kerja akan dapatkan tender tersebut, tak kira apa parti sekali pun,” katanya.

Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata proses pemberian kontrak sedia ada perlu diteliti kerana terdapat situasi di mana harga melambung tinggi. “Kita nak kontraktor tahu ini adalah kerajaan baru, we want value for money,” katanya. Beliau turut diminta mengulas mengenai cadangan Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman supaya ketua-ketua bahagian dan cawangan parti itu diberikan projek kerajaan. “Saya tak sokong langsung (cadangan tersebut), saya percaya banyak MP PH juga tidak sokong cadangan ini. “Kita dipilih oleh rakyat Malaysia untuk satu pentadbiran yang bersih dan baru, malah cara pentadbiran kita mesti berbeza daripada yang lepas (BN),” katanya. Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu bulan lalu, Abdul Rashid mencadangkan agar kontrak kerajaan diberikan kepada kepada ketua bahagian dan cawangan bagi membolehkan mereka menambah dana untuk menggerakkan parti.

Ia bagaimanapun mendapat tentang pelbagai pihak kerana dilihat mengikut amalan BN sebelum ini.

Nasib Orang Asli perlu pembelaan di Parlimen

Nasib masyarakat Orang Asli, khususnya di Cameron Highlands, memerlukan pembelaan sewajarnya di peringkat nasional supaya mereka tidak terus ketinggalan dalam arus perdana pembangunan negara, kata Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong. Beliau yang banyak membangkitkan isu membabitkan masyarakat itu di Dewan Undangan Negeri Pahang berkata pengundi Orang Asli harus memilih seorang wakil rakyat yang benar-benar prihatin dengan permasalahan mereka.

“Sekadar suara di Dewan Undangan Negeri Pahang tidak cukup, apatah lagi mampu untuk membantu mengubah nasib masyarakat Orang Asli,” katanya dalam kenyataan. “Justeru, saya menyeru pengundi khususnya pengundi Orang Asli di Cameron Highlands menyokong sepenuhnya calon Pakatan Harapan, M Manogaran, iaitu seorang yang penuh prihatin terhadap isu-isu Orang Asli demi masa depan Malaysia Baharu dan Masyarakat Orang Asli.” Pada 4 Jun lalu, Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk kerusi Cameron Highlands yang disandang C Sivarraajh terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Susulan itu Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh pada PRU14 selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Najib abaikan Orang Asli selama jadi Perdana Menteri

Satu soalan utama yang bermain di fikiran pengundi di Cameron Highlands adalah mengapa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meletakkan dirinya sebagai jurucakap utama Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Januari nanti. Najib semasa di Pekan semalam, berkata yang beliau yakin Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kemenangan dalam PRK Cameron Highlands. Sebagai seorang bekas Perdana Menteri, mengapa Najib tidak ada sekelumit rasa malu terhadap hakikat bahawa PRK Cameron Highlands diadakan susulan terdapat bukti berlakunya politik wang, membeli undi dan amalan rasuah.

Saya sebelum ini ada menyatakan bahawa Pakatan Harapan memerlukan keajaiban untuk menang dalam PRK Cameron Highlands kerana kerusi itu sejak sekian lama merupakan salah satu kubu kuat Barisan Nasional yang tidak ditembusi oleh mana-mana parti lain. Namun, kita kini berada di dalam era keajaiban politik, bermula dengan keputusan bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, walaupun Najib begitu yakin akan memperoleh kemenangan mudah dan menguasai semula majoriti dua pertiga Parlimen yang gagal direalisasikan mereka dalam PRU12 pada 2008. Justeru itu, PRK Cameron Highlands adalah peluang kedua untuk membuktikan bahawa Najib salah – dan kali ini, ini harus dibuktikan oleh pengundi Cameron Highlands. Adalah dikesalkan apabila Najib begitu terdesak sehingga perlu memainkan politik murahan dan menyebabkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Ajis Sitin terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan semalam, bagi menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri itu bahawa kerajaan Pakatan Harapan kononnya tidak memberikan peruntukan untuk masyarakat Orang Asli dalam Belanjawan 2019.

Menurut Ajis, kerajaan Pakatan Harapan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara dan tumpuan akan diberikan bagi membina dan menaik taraf jalan untuk memudahkan Orang Asli melakukan aktiviti seharian, sekali gus meningkatkan status sosio-ekonomi mereka. Najib turut melakukan serangan terhadap saya berhubung kenyataan saya yang mengatakan kerajaan BN mengabaikan masyarakat Orang Asli. Tidak boleh dinafikan lagi yang Najib, sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam selama lapan tahun, telah mengecewakan masyarakat Orang Asli di negara ini dengan memberikan tumpuan kepada rasuah antarabangsa 1MDB dan skandal pengubahan wang haram serta skandal lain melibatkan Felda, Felcra, MARA dan Tabung Haji daripada membawa masyarakat Orang Asli ke dalam arus utama pembangunan negara. Adakah Najib berani untuk membandingkan jumlah dana awam yang telah dibazirkan dalam skandal 1MDB dan skandal serupa 1MDB dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan untuk pembangunan Orang Asli selama lapan tahun beliau menjadi Perdana Menteri?

Bukankah memalukan, setelah enam dekad JAKOA ditubuhkan, hanya 30 peratus kakitangan JAKOA adalah terdiri daripada Orang Asli dan hanya dua Pengarah Negeri JAKOA adalah daripada masyarakat Orang Asli, sedangkan sepatutnya sekarang, sekurang-kurangnya 70 peratus kakitangan JAKOA dan semua Pengarah JAKOA perlu datang darpada masyarakat Orang Asli itu sendiri. Terdapat 27 kampung masyarakat Orang Asli di kawasan Cameron Highlands, melibatkan 1,637 keluarga dengan jumlah penduduk seramai 6,976 orang. Jika Najib tidak terlalu memberikan tumpuan dan mencurahkan tenaganya kepada skandal 1MDB dan skandal berkaitan 1MDB, terjerumus dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa sehingga Malaysia dikutuk masyarakat dunia dengan gelaran “kleptokrasi global” dan memberikan lebih peruntukan dan sumber untuk pembangunan Orang Asli, nasib Orang Asli di Cameron Highlands hari ini mungkin lebih baik. Adakah Najib ingin menafikan, dalam era moden Internet di mana maklumat bergerak pantas pada kelajuan cahaya, kira-kira 20 peratus masyarakat Orang Asli di kawasan Cameron Highlands masih belum mendapat kemudahan bekalan elektrik.

Bolehkah Najib menjelaskan apakah sebenarnya yang difahami beliau tentang makna kejayaan JAKOA?

M Manogaran bakal beraksi semula di Cameron Highlands

M Manogaran, sekali lagi diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mewakili gabungan itu di Cameron Highlands. Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Albukhary dekat Kuala Lumpur, hari ini. “Kita telah tentukan siapa yang akan bertanding dalam PRK Cameron Highlands. “Calon kita ialah Manogaran, iaitu calon yang lama, yang bertanding di situ dalam PRU14,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata, PH akan menang di kerusi tradisi MIC tersebut meskipun menghadapi rintangan daripada pencabar. “Kita akan menang dalam PRK ini, insyaAllah kita akan menang, kita tidak tahu siapa yang hendak bersaing dengan kita, dengar cerita macam-macam. “Tetapi siapapun yang bertanding kita percaya kita dapat mengatasi,” ujarnya. Untuk rekod, PRK Cameron Highlands diadakan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah. Pada PRU14, C Sivarrajh menewaskan empat calon lain termasuk M Manogaran dengan 597 undi. Pada 30 November yang lalu, Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur, Hakim Azizah Nawawi mengarahkan supaya kerusi Cameron Highlands, yang sebelum ini disandang pemimpin Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivarraajh, dikosongkan. Keputusan itu dibuat susulan kejayaan calon DAP M Manogaran membuktikan bahawa terdapat amalan rasuah yang dilakukan pasukan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Manogaran ketika ditemui pemberita berkata beliau berterima kasih kepada semua pihak, khususnya Orang Asli, yang banyak menghulurkan bantuan sejak hari pertama beliau menyerahkan petisyen pilihan raya bagi membantah kemenangan Sivarraajh. “Saya amat berterima kasih kepada masyarakat Orang Asli, yang memberikan bukti (amalan rasuah BN). Kami mengambil kenyataan daripada 200 Orang Asli dan sepanjang perbicaraan, ramai yang datang memberikan bukti. Kami amat berterima kasih kepada mereka,” ujarnya. Pada 5 Jun lalu, Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Sivarraajh di kerusi Parlimen Cameron Highlands. Beliau mendakwa Sivarraajh mengancam dan memberi rasuah kepada masyarakat Orang Asli yang terdiri daripada 20% pengundi di Parlimen tersebut. Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, keputusan berkenaan memberikan sinar harapan baharu kepada rakyat Malaysia. “Kita mahukan sistem pilihan raya yang adil, bersih supaya suara rakyat benar-benar didengari di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran pula berharap Manogaran dapat diberikan peluang sekali lagi untuk menjadi calon DAP bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands jika pilihan raya kecil (PRK) diadakan di kawasan tersebut. “Kami berharap dapat menambah lagi kerusi Pakatan Harapan di Parlimen,” ujarnya. Turut hadir memberikan sokongan adalah Adun Ketari, Young Syefura Othman.

Jangan biar politik wang kuasai PH

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago tampil menyatakan sokongan terhadap Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendapat tentangan akar umbi dari partinya ekoran lantang menentang cadangan pemberian kontrak kepada ketua bahagian bagi tujuan politik. Charles turut menggesa kepimpinan Pakatan Harapan menyokong Menteri Belia dan Sukan itu dalam mesyuarat yang diadakan mereka hari ini bagi membincangkan isu tersebut.

“Saya menyokong beliau (Syed Saddiq) sepenuhnya kerana kita tidak mahu politik wang menguasai Pakatan Harapan. “Dan saya sekeras-kerasnya mengutuk usaha boikot terhadap Syed Saddiq yang digerakkan oleh pemimpin akar umbi yang tanpa segan silu memberikan alasan mereka hilang segalanya apabila meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. Naib Presiden Bersatu Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu minggu lalu sependapat dengan wakil Wilayah Persekutuan, Mohd Shahni Ismail, ketua bahagian Bandar Tun Razak, yang dalam ucapannya meminta kontrak dan jawatan kerajaan diberi kepada pimpinan parti. Ia bagaimanapun mendapat tentangan Syed Saddiq yang menyifatkan ia sebagai tidak masuk akal. “Perwakilan Wilayah Persekutuan tadi, sampai berani sebut menteri yang menjanjikan (kontrak). “Bayangkan itu boleh jadi kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mana boleh, janji (kontrak) pergi jumpa menteri. Perhimpunan UMNO pun tak berani bincang ini (kontrak), mana maruah kita,” katanya.

Charles berkata, beliau tidak ada masalah sekiranya ketua bahagian Bersatu sememangnya merupakan ahli perniagaan yang berjaya, namun mereka harus melalui proses yang telus dalam mendapatkan sebarang kontrak kerajaan. “Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Dan jika kita tutup mata, kita tidak ada bezanya dengan Umno. “Bagaimana kita menangani isu ini amat penting kerana rakyat sedang memerhatikan setiap gerak geri kita,” ujarnya.