M Manogaran bakal beraksi semula di Cameron Highlands

M Manogaran, sekali lagi diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mewakili gabungan itu di Cameron Highlands. Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Albukhary dekat Kuala Lumpur, hari ini. “Kita telah tentukan siapa yang akan bertanding dalam PRK Cameron Highlands. “Calon kita ialah Manogaran, iaitu calon yang lama, yang bertanding di situ dalam PRU14,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata, PH akan menang di kerusi tradisi MIC tersebut meskipun menghadapi rintangan daripada pencabar. “Kita akan menang dalam PRK ini, insyaAllah kita akan menang, kita tidak tahu siapa yang hendak bersaing dengan kita, dengar cerita macam-macam. “Tetapi siapapun yang bertanding kita percaya kita dapat mengatasi,” ujarnya. Untuk rekod, PRK Cameron Highlands diadakan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah. Pada PRU14, C Sivarrajh menewaskan empat calon lain termasuk M Manogaran dengan 597 undi. Pada 30 November yang lalu, Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur, Hakim Azizah Nawawi mengarahkan supaya kerusi Cameron Highlands, yang sebelum ini disandang pemimpin Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivarraajh, dikosongkan. Keputusan itu dibuat susulan kejayaan calon DAP M Manogaran membuktikan bahawa terdapat amalan rasuah yang dilakukan pasukan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Manogaran ketika ditemui pemberita berkata beliau berterima kasih kepada semua pihak, khususnya Orang Asli, yang banyak menghulurkan bantuan sejak hari pertama beliau menyerahkan petisyen pilihan raya bagi membantah kemenangan Sivarraajh. “Saya amat berterima kasih kepada masyarakat Orang Asli, yang memberikan bukti (amalan rasuah BN). Kami mengambil kenyataan daripada 200 Orang Asli dan sepanjang perbicaraan, ramai yang datang memberikan bukti. Kami amat berterima kasih kepada mereka,” ujarnya. Pada 5 Jun lalu, Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Sivarraajh di kerusi Parlimen Cameron Highlands. Beliau mendakwa Sivarraajh mengancam dan memberi rasuah kepada masyarakat Orang Asli yang terdiri daripada 20% pengundi di Parlimen tersebut. Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, keputusan berkenaan memberikan sinar harapan baharu kepada rakyat Malaysia. “Kita mahukan sistem pilihan raya yang adil, bersih supaya suara rakyat benar-benar didengari di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran pula berharap Manogaran dapat diberikan peluang sekali lagi untuk menjadi calon DAP bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands jika pilihan raya kecil (PRK) diadakan di kawasan tersebut. “Kami berharap dapat menambah lagi kerusi Pakatan Harapan di Parlimen,” ujarnya. Turut hadir memberikan sokongan adalah Adun Ketari, Young Syefura Othman.