Ekonomi Malaysia tidak seindah digambarkan Najib

(15-11-2017)

Ekonomi Malaysia tidak seindah digambarkan Najib

Situasi ekonomi dan perdagangan negara ini semakin merosot secara drastik sejak tahun 2013 lalu kata Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

Justeru, segala dakwaan kononnya situasi ekonomi Malaysia dan perdagangan antarabangsa  semakin meningkat hanyalah gambaran palsu yang dijaja Barisan Nasional (BN) untuk mengaburi mata rakyat negara ini.

Penolong Bendahari Kebangsaan DAP itu berkata, bukti jelas situasi ekonomi tidak seindah yang dicanangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dapat dilihat jelas melalui kemerosotan nilai tukaran Ringgit berbanding Dolar Amerika.

“Kerajaan BN telah mengelirukan rakyat dengan merujuk jumlah perdagangan dalam ringgit, yang nilainya telah merosot 49.3 peratus berbanding Dolar dalam tempoh tersebut untuk beri persepsi  bahawa jumlah perdagangan antarabangsa Malaysia kononnya meningkat,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Beliau merujuk kepada nilai pertukaran Ringgit Malaysia yang mencatatkan penurunan daripada US$1.00 bersamaan RM3.00 pada Januari 2013, kepada RM4.48 pada 30 Disember 2016.

Memberikan contoh, Ngeh berkata sekiranya Malaysia mengeksport 10 kontena barang dagangan pada tahun 2013 dengan harga US$1,000 bagi setiap satu kontena, nilai eksport adalah US$10,000 atau RM30,000.

“Bagaimana pun, jika eksport Malaysia menurun sebanyak 10 peratus pada 2016, Malaysia hanya akan memperoleh sembilan kontena barangan dagangan dengan harga yang sama iaitu US$1,000 satu kontena dan kita akan dapat US$9,000 sahaja tetapi nilai dalam Ringgit Malaysia akan mencatatkan satu peningkatan iaitu sebanyak RM40,320,” jelas beliau.

Perkara ini katanya jelas menunjukkan kerajaan BN berlaku tidak jujur terhadap rakyat negara ini.