PAS jadi lauk di media sosial satu dua hari ini lantaran penarikan balik saman fitnahnya terhadap Sarawak Report (SR). Saman fitnah ini dijalankan di mahkamah London, tempat bermastatutinnya Clare Rewcastle Brown, yang menyelenggara laman web SR itu. SR adalah sebuah portal yang cukup lantang mendedahkan skandal-skandal di Malaysia, terutamanya 1MDB. Arakian maka bermulalah kisah bagaimana SR telah membuat satu pendedahan bahawa PAS telah menerima dana daripada UMNO, dan dana itu terkait syarikat bermasalah milik negara, 1MDB.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; justeru melancarkan perang terhadap SR dan dengan penuh yakin memberitahu anggota jemaahnya bahawa PAS akan memfailkan saman terhadap Clare, demi memelihara maruah PAS. Tabung-tabung derma pun dilancar di peringkat akar umbi supaya PAS mempunyai dana yang mencukupi untuk mengheret SR ke mahkamah. Akar umbi PAS pun bingkas menyerahkan apa termampu demi memastikan fitnah terhadap parti mereka dapat ditewaskan. Alih-alih saman itu akhirnya diselesaikan di luar mahkamah. Pejabat presiden PAS mengeluarkan kenyataan satu muka surat dengan empat perkara diberi penekanan. Pertama Haji Hadi menarik semula tuntutannya, justeru Clare juga menarik semula tuntutan balas beliau. Seterusnya, mahkamah tidak memberi sebarang perintah berkenaan kos. Akhir sekali, terma penyelesaian kedua-dua pihak dirahsiakan. Yang menarik balik saman ialah orang yang memulakan saman.
Fitnah yang mahu dilawannya tidak pula ditarik balik. Tiadanya perintah kos, bererti segala sumbangan yang telah diberikan hingga ke saat-saat akhir tindakan undang-undang itu tidak mencapai tujuannya untuk melawan tuduhan berat SR. Kerahsian terma-terma bererti ada persetujuan yang tidak akan kita ketahui apa isinya. Berdegar-degar serata alam dicanang mahu membersihkan nama PAS daripada tuduhan menerima wang UMNO, kutip derma di kalangan ahli dan penyokong sampaikan ada yang lelong baju vintage untuk bantu perjuangan presiden di London. Semuanya ternyata sia-sia. Tetapi ada juga pandir penyokong PAS yang tidak melihat ini sebagai musibah kepada partinya. Yang dia tahu, partinya tahun lalu sudah memperolehi kemenangan yang pertama; seperti dalam cerita Nujum Pak Belalang. Menang apa benda, dia pun tak tahu sebenarnya. 1 Mei 2018, akhbar lidah rasmi parti pemerintah ketika itu, Utusan Malaysia telah melaporkan bagaimana PAS telah menang saman fitnah terhadap SR. Beberapa hari sahaja sebelum UMNO melingkup, lidah partinya mencanang kejayaan kekasih baharu ketika itu.
Kejayaan apa benda, penyokong PAS tidak perlu peduli. Hakikatnya tidak menang apa pun. Dan kini Haji Hadi sendiri menarik balik tindakan undang-undangnya. Tetapi kenapa isu tarik balik saman SR ini sangat penting? Pastilah kerana dakwaan berat SR terhadap PAS bahawa ia telah makan duit UMNO yang menjadi punca utama bagaimana PAS terbelah dua. Maksudnya orang yang menerima duit UMNO telah menjalankan tugasnya untuk memecahkan PAS dan mengeluarkan PAS dari gabungan Pakatan Rakyat (ketika itu). Kita semua tahu PAS adalah komponen paling kuat dalam Pakatan Rakyat, dan kerana itu UMNO mencari point lembik tengkuk PAS. Seteleh dibelai dan dimanja, ia akhirnya termakan umpan perpaduan yang membuka jalan mudah menuju kuasa. Kuasa yang disangkanya akan mudah diraih apabila UMNO menang bergaya dalam PRU ke-14. Maka UMNO pun membeli jiwa beberapa pimpinan PAS. Mereka timbulkan perbalahan, dan PAS pun berpecah, dengan harapan ia akan pasti dapat menyertai kerajaan bersama UMNO setelah PRU14.
Perbahasan halal haram makan duit UMNO ini ambil masa yang cukup lama juga dalam lingkungan penyokong dan pekerja parti. Boleh baca berjela-jela perbahasan sesama mereka di Facebook, yang kemudiannya meletup dengan tertirisnya rakaman ucapan yang didakwa suara Nik Abduh, anak kepada Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Kita semua tahu akan hal rakaman itu. Jenaka ‘ana tahu’ berlegar cukup lama dalam kalangan bekas pimpinan PAS yang kini menganggotai parti Amanah. Namun manusia hanya merancang. Usai PRU14, UMNO melingkup dan duitnya putus. Berjuta ringgit dana yang disimpan di pejabat dan rumah pemimpinnya kerana begitu yakin akan menang besar, telah disita. PAS kiranya putus duit juga, selain putus harapan untuk naik tahkta di Putrajaya. Melengung lah masing-masing, tak dapat jadi menteri. Mujurlah ada saguhati jadi kerajaan di Terengganu. Jadi sekarang begini saja lah. Memandangkan hukum undi BN pun sudah jadi wajib sejak pilihanraya kecil Cameron Highlands, dan bakal menyusul di DUN Semenyih. Serta jelas sudah tidak ada segan silu lagi tentang kerjasama politik kedua-duanya, tanzim PAS sewajarnya berlaku jujur sahaja dengan akar umbi.
Mengaku sahaja bahawa pemimpin sudah ambil duit UMNO untuk kempen menghalau para ‘jebon dan Anwarinas’ dalam muktamar bersejarah itu, dan dengan tindakan tersebut menjahanamkan jemaah sehingga hancur berkecai. Mengaku bahawa ya, pimpinan telah makan duit UMNO supaya Pakatan Rakyat melingkup. Mengaku supaya akar umbi tahu pengkhianatan pimpinan dan berapa sebenarnya harga untuk membeli sebuah tanzim jemaah Islam. Seperti wirid Najib Razak sekarang, ‘Malu apa bossku?’ Mengaku sahaja, supaya ahli dan pekerja parti benar-benar tahu dan faham. Katakan bahawa kalian makan duit UMNO seperti yang disurahkan panjang lebar oleh Clare Rewcastle dan Sarawak Report di portal dan juga kenyataan pembelaannya di mahkamah. Segalanya sudah pun sudah berlalu. Saman fitnah pun sudah ditarik balik, dan laporan SR tetap kekal disiar tanpa sebarang pindaan. Segeralah mengaku dan katakan dengan lidah yang fasih, “Ya, ana ambil duit UMNO. Ana buat semua ni demi Islam dan Melayu”. Senang.
Jangan malu-malu ya akhi. Enta tahu. Ana pun tahu. Sekarang biar semua orang tahu. – Roketkini.com