Universiti perlu banyak benda, tapi bukan stesen minyak

Petronas Dagangan Berhad (PDB) memeterai perjanjian untuk membina 5 buah stesen minyak Petronas di 5 buah universiti tempatan iaitu Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Tunku Abdul Rahman pada 15 Disember 2018. Ini adalah satu perkembangan yang sangat membimbangkan dan Kementerian Pendidikan bersama Dr. Maszlee Malik yang juga turut hadir menyaksikan perjanjian itu digesa untuk membatalkan perjanjian tersebut. Dalam minggu yang sama, satu perhimpunan tahunan Conference of the Parties (COP) yang ke-24 di bawah naungan United Nation Framework Convention on Climate Change sedang diadakan di Katowice, Poland di mana semua negara-negara sedang sibuk berunding untuk menyelesaikan masalah eksistensial yang sudahpun mula menggugat kehidupan dan peradaban manusia.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin juga sempat mewakili Malaysia di COP24 untuk menerangkan langkah-langkah, aspirasi dan komitmen negara untuk memastikan Malaysia memainkan peranan penting di peringkat negara mahupun antarabangsa dalam menentang fenomena perubahan iklim. Antara persoalan fundamental yang mencapai konsensus para saintis adalah perubahan iklim secara umumnya merupakan kesan anthropological atau berpunca dari aktiviti manusia. Dari era revolusi industri, tahap karbon menggunung secara mendadak dibandingkan dengan zaman sebelumnya. Ini kerana kemajuan teknologi dan pembangunan adalah asas kepada perkembangan tamadun manusia. Oleh itu, falsafah “sustainable development” digunapakai untuk mengimbangi keperluan pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.

Salah satu perincian yang diperhalusi, dipersetujui dan terus diusahakan komuniti antarabangsa adalah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga tidak boleh baru seperti gas asli dan minyak dan menumpukan usaha dan pelaburan kepada tenaga boleh baru seperti angin dan solar. Untuk pengetahuan Dr. Maszlee, universiti-universiti dunia telah sekian lama mengkaji dan melakukan projek-projek di dalam bidang tenaga boleh baru. Universiti-universiti di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Banyak pelajar kita yang terdorong untuk mengkaji dan membuat projek-projek tenaga solar, biomas dan lain-lain. Ramai juga yang telah mencipta aplikasi baru menggunakan teknologi yang berinovasi tinggi dan bermanfaat untuk semua. Buka saja buku-buku projek tahun akhir pelajar-pelajar kita, gah sungguh namun malang ideanya ditinggalkan atas rak perpustakaan.

Benar sekali seperti yang dikatakan CEO PDB, memang penting untuk menyemai sifat keusahawanan ataupun “entrepreneurial instinct” dan terdapat 1001 cara lain untuk mencapai itu selain menempatkan stesen minyak Petronas dalam kampus. Pihak Petronas boleh bekerjasama dengan universiti untuk mengadakan pitching session, memberikan geran kepada idea bisnes lestari yang bernas ataupun inovasi teknologi terkini dan memberi ruang pelajar untuk berkecimpung secara terus dalam “start-up environment” di kampus seperti yang telahpun dijalankan dibeberapa universiti di Malaysia. Pihak universiti juga boleh mula menggali semula thesis-thesis dan projek-projek tahun akhir yang boleh dikongsikan dengan industri untuk menjana pendapatan. Sebagai CSR pula, Petronas dengan RM50 juta mereka boleh terus membantu pihak universiti dalam menaiktaraf fasiliti dan kemudahan universiti, melanggan jurnal-jurnal akademik yang berprestij, membina bumbung untuk pejalan kaki, menyediakan laluan khas untuk basikal, belanja universiti feeder-bus percuma dan macam-macam ikhtiar lagi mengikut keperluan universiti.

Pastinya, komuniti akademia dan pelajar-pelajar akan lebih berterima kasih. Universiti pada asasnya merupakan satu platform untuk menyediakan anak-anak muda kita untuk masa hadapan. Apakah membawa masuk stesen minyak Petronas dapat menjamin itu? Dr. Maszlee, Universiti Oxford juga tak punya stesen minyak didalam kawasannya. Laporan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) yang dikeluarkan pada bulan Oktober menyatakan bahawa komuniti global perlu menurunkan kadar pengeluaran gas rumah hijau sebanyak 45% untuk mengekalkan kadar kenaikan suhu dunia pada 1.5°C. Gagal mematuhi aturan ini bakal mendatangkan musibah iklim berskala global – kemarau yang lebih panjang menggugat pengeluaran makanan dan bencana alam yang lebih teruk. Yeo Bee Yin juga menegaskan komitmen kerajaan pusat untuk meningkatkan peratusan tenaga boleh baru dari 2% kepada 20% selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan.

Apakah membina stesen minyak Petronas di dalam kampus langkah efektif yang dapat membantu kemelut ini? Pelajar-pelajar seharusnya mempertahankan falsafah pembangunan lestari dan mencari alternatif yang dapat menjamin masa depan yang lebih cerah tanpa karbon. Banyak sudah stesen minyak diluar universiti, cukuplah jangan sampai masuk pintu universiti. Akhir sekali, kesemua pemegang taruh bertanggungjawab untuk menjamin keselesaan semua tapi harus diingati, tanggungjawab itu juga mesti dilanjutkan kepada alam sekitar. – Roketkini.com