Masalah kewangan Utusan Malaysia, UMNO perlu bertanggungjawab kata Kit Siang

Majlis Tertinggi UMNO perlu memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah kewangan lidah rasminya, Utusan Malaysia. Gesaan tersebut dibuat Lim Kit Siang, sebagai reaksi terhadap pelantikan Aziz Sheikh Fadzir sebegai pengerusi eksekutif Utusan Melayu Bhd, bagi memulihkan syarikat milik UMNO itu. “Tiada siapa tahu kalau pulangnya Aziz ke Utusan akan dapat memulihkan akhbar itu. Tetapi saya bersetuju dengan Setiausaha Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Basir Abu Bakar, yang juga seorang wartawan Utusan; bahawa siapa sahaja yang mempengerusikan syarikat tersebut, harus komited untuk menyelamatkan Utusan,” jelas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataannya.

Kit Siang menegaskan bahawa wartawan Utusan Malaysia tidak boleh dijadikan kambing hitam akibat ketidakcekapan dan kleptokrasi alaman UMNO. “Majlis Tertinggi UMNO tidak boleh dibiar melarikan diri daripada tanggungjawabnya ke atas wartawan Utusan Malaysia,” tegas beliau. Tambahnya, kekalahan UMNO dalam PRU14 tidak boleh dijadikan alasan untuk memecat wartawan Utusan, kecuali jika UMNO sendiri mahu dibubarkan. Kit Siang menyatakan sokongan jelas kepada tuntutan Gerakan Media Merdeka (Geramm) kepada pengurusan Utusan Malaysia agar membela nasib wartawan dan bekas stafnya yang telah banyak berkorban demi akhbar Bahasa Melayu tertua itu. Aziz sebelum ini telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi eksekutif Utusan, selepas hanya enam bulan berkhidmat.

Utusan dijangka menyelesaikan pembayaran skim pembenhetian sukarela (VSS) kepada sejumlah pekerjanya menjelang hujung minggu ini, setelah dilaporkan gagal berbuat demikian kepada 700 pekerja pada 25 Disember. Utusan dilaporkan menghadapi masalah kewangan semenjak UMNO tewas dalam pilihanraya Mei tahun lalu. UMNO memiliki 51% pegangan dalam Utusan Melayu Bhd.