Ketua UMNO Bandar Tun Razak dicabar buat laporan polis jika benar kena ‘game’

(05-4-2018)

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mencabar Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar  supaya membuat laporan polis dan membuat aduan kepada SPRM dalam tempoh 24 jam ekoran dakwaan ‘diperangkap’ ketika ‘minum kopi’ di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur baru-baru ini. Dalam serbuan, ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Bagaimanapun, Rizalman telah mendakwa terdapat kemungkinan sampel saringan air kencing mereka telah diganggu atau ditambah anasir tidak diingini. “Saya hairan dengan dakwaan Rizalman bahawa serbuan ke kelab malam itu dan ujian air kencing ke atas mereka oleh pasukan polis bersama SPRM pada awal pagi Isnin lalu adalah satu ‘perangkap’ atau merupakan satu ‘game plan’ yang terancang. “Saya justeru mencabar Rizalman dan rakan-rakannya supaya membuat laporan polis dan mengadu ke SPRM dalam tempoh 24 jam tentang dakwaan ‘perangkap’ atau ‘game plan’ itu dan juga dakwaan bahawa terdapat kemungkinan sampel saringan air kencing mereka telah diganggu atau ditambah anasir tidak diingini.

“Jika tidak, mereka wajar meminta maaf kepada pihak polis dan SPRM,” katanya dalam kenyataan. Ujarnya, tempoh tahanan kurang 24 jam ke atas Rizalman oleh pihak polis kini merupakan kes tauladan (precedent) di Malaysia yang boleh dirujuk di mahkamah oleh para peguam untuk memohon supaya suspek yang disyaki menyalahgunakan dadah dibebaskan lebih awal. “Sebelum kes Rizalman yang dilepaskan dengan begitu cepat walaupun ujian air kencingnya didapati positif dadah, pihak polis selalu memohon tahanan reman ke atas suspek kaki dadah sehinggalah laporan kimia selesai.

“Suspek kemudian didakwa di mahkamah sekiranya keputusan laporan kimia masih didapati positif, itu sahaja boleh mencecah seminggu dalam lokap. Atau pihak polis menahan reman suspek terbabit untuk sekurang-kurangnya beberapa hari sehingga siasatan terhadap pembekal dadah berkenaan selesai,” jelas beliau. Lim Lip Eng turut membangkitkan persoalan adakah Rizalman satu-satunya suspek yang dibebaskan kurang 24 jam selepas ditangkap atau adakah kesemua rakan-rakannya yang turut ditangkap juga dibebaskan bersama. “Mungkin Bukit Aman boleh menyiarkan rakaman video proses tangkapan Rizalman dan rakan-rakannya di berita TV sepertimana biasa dilakukan oleh pihak polis dalam operasi tangkapan besar-besaran.

“Sekurang-kurangnya nampaklah macam polis melayan semua tahanan jenayah secara adil dan saksama,” katanya lagi. – Roketkini.com