Kes kematian dalam tahanan akibat kecederaan perlu diberi pampasan – Gobind Deo

KUALA LUMPUR, 7 NOV

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hari ini menggesa Parlimen mencadangkan usul bagi meminda Akta Sivil 1956 supaya tuntutan ganti rugi teladan dalam kes melibatkan kematian akibat kecederaan seperti kematian dalam tahanan dimasukkan dalam akta tersebut.

“Saya menyeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman menasihati kerajaan supaya pindaan ke atas peruntukan dalam akta ini dilakukan dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Biro Undang-undang DAP itu berkata, sekiranya kerajaan masih enggan, beliau selaku Ahli Parlimen akan mengemukakan usul pindaan Rang Undang-undang Persendirian pada sesi Parlimen akan datang.

Gobind berkata demikian merujuk kepada laporan ketetapan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan bahwa tiada ganti rugi teladan akan diberikan kepada ahli keluarga mangsa yang mati dalam tahanan melibatkan tindak-tanduk polis dalam kes kematian A. Kugan.

“Adalah tidak masuk akal sekiranya pampasan diberikan dalam kes di mana mangsa survive tetapi tidak bagi mangsa yang telah mati akibat kecederaan atau sebarang tindak-tanduk dalam kes tersebut.

“Perlanggaran hak dan undang-undang ini sepatutnya dikenakan tindakan berat dan, ataupun penalty,” katanya lagi.

Kes kematian A. Kugan pernah mencetuskan kontroversi seluruh negara apabila pemuda berusia 22 tahun itu didapati mati dalam tahanan lokap Balai Polis USJ 8 pada 20 Januari 2009.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika itu mengklasifikasikan kes tersebut mengikut sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan untuk mendapatkan pengakuan.