Kerajaan PH turunkan harga minyak RON95 bermula 1 Januari 2019

Kerajaan Pakatan Harapan hari ini mengumumkan harga minyak RON95 akan dijual lebih murah bermula 1 Januari tahun depan. Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ia sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia ketika ini. “Kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari 2019 memandangkan penetapan harga jualan runcit produk petroleum adalah secara bulanan.

“Ini memberikan kelebihan kepada pengguna sekiranya harga minyak dunia sedang naik tetapi memandangkan trend harga minyak adalah menurun kerajaan sedia menukarkan asas penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, kaedah penetapan harga secara bulanan akan digantikan dengan penetapan harga jualan runcit secara mingguan bermula tarikh sama.Ia bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia, tambahnya.

Pun begitu, harga runcitnya dihadkan pada RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel jika harga minyak naik, . “Pengekalan harga ini adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan pada tahun 2019. “Ini selaras dengan manifesto PRU14 Pakatan Harapan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membolehkan rakyat menerima faedah penurunan harga minyak tetapi membantu golongan B40 dengan subsidi bersasar bila harga minyak naik,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP. – Roketkini.com