Janji BN tinggal janji kosong, Di mana hospital Baru Seri Manjung bernilai RM60 juta?

Kenyataan Media oleh Ngeh Koo Ham, Ahli Parlimen Beruas dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sitiawan yang diadakan di Hospital Seri Manjung, Perak pada 26 Mei 2017 ( Jumaat ).

Menggesa Menteri Kesihatan, Dr. S. Subramaniam untuk memastikan projek naik taraf Hospital Seri Manjung, Perak yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) dilaksanakan dengan segera. Terdapat juga keperluan-keperluan lain yang mendesak termasuk kekurangan ruang parkir mesti ditangani juga.
.

Kita kini berada dalam tahun kedua bagi Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020), malangnya projek naik taraf Hospital Seri Manjung yang telah diluluskan dan sepatutnya dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (2010-2015) bernilai RM60 juta masih belum bermula.

Projek naik taraf tersebut melibatkan kerja-kerja menaiktaraf bekalan elektrik dan pembinaan satu bangunan tambahan.

Saya dimaklumkan bahawa akibat daripada kekurangan bekalan elektrik yang mencukupi bagi kegunaan di Hospital Seri Manjung, tiada penambahan sebarang peralatan perubatan serta penghawa dingin yang boleh dibuat. Ini adalah kerana penambahan seperti itu akan menyebabkan bekalan terputus ( overloading ).

Pada tahun 2015 ketika rancangan menaiktaraf itu diluluskan, bangunan tambahan tersebut yang hendak dibina akan ada :-

(i) Satu Wad Psikiatri
(ii) Satu Klinik Psikiatri
(iii) Satu Dewan untuk Pendidikan Perubatan Lanjutan dengan kapasiti 150 orang dan
(iiii) diperluaskan klinik-klinik Pediatrik, Orthopedik dan Mata.

Kelewatan naik taraf tersebut telah menyebabkan kesusahan kepada penduduk Daerah Manjung. Hospital ini sangat memerlukan sebuah mesin CT Scan. Pusat haemodialysis dalam hospital ini hanya mampu menampung 50 orang pesakit sahaja dan senantiasa penuh, menyebabkan ramai pesakit- pesakit buah pinggang tidak dapat menerima rawatan di sini.

Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2015 menunjukkan terdapat penambahan dua kali ganda mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental berbanding dengan jumlah satu dekad yang lalu. Pada dekad yang lalu, hanya 10% rakyat Malaysia mempunyai masalah kesihatan mental tetapi kini telah meningkat kepada 30% daripada jumlah keseluruhan penduduk. Menurut tinjauan pada tahun 2015 juga, hampir 4.2 juta daripada 14.4 juta rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas menghadapi masalah kesihatan mental.

90% daripada mereka yang ada masalah kesihatan mental ini boleh kembali normal dengan diberi bantuan dan sokongan yang sewajarnya.

Maka, dengan peningkatan jumlah mereka yang ada masalah kesihatan mental, adalah penting wad psikiatrik yang telah dirancang hendaklah dibina secepat mungkin di Hospital Seri Manjung.

Pada waktu ini, Hospital Seri Manjung hanya mempunyai sebuah klinik psikiatri. Lawatan saya ke Hospital Sri Manjung juga menunjukkan bahawa jumlah parkir di kawasan hospital tidak mencukupi, kenderaan-kenderaan terpaksa diletakkan agak jauh daripada hospital.

Saya dengan ini menggesa Menteri Kesihatan agar memastikan projek menaiktaraf Hospital Seri Manjung ini dilaksanakan dengan kadar segera.

Saya juga menggesa agar selain daripada projek naiktaraf seperti yang dimaklumkan di atas, Menteri Kesihatan juga sewajarnya mendapatkan dana tambahan untuk perkara-perkara berikut :-

(i) Membeli sebuah mesin CT Scan dan peralatan perubatan lain yang diperlukan di Hospital Seri Manjung
(ii) Membesarkan pusat haemodialysis.
(iii) Menambah ruang parkir di dalam kawasan hospital.

NGEH KOO HAM
Ahli Parlimen Beruas dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sitiawan