Media sosial dibanjiri kata-kata sayu dan tidak kurang juga ucapan takziah sebaik sahaja mendapat berita pemergiaan Muhammad Adib Mohd Kassim yang bertugas semasa kejadian rusuhan di sebuah kuil dekat USJ, bulan lalu. Anggota bomba itu menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah hampir setengah bulan bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN), malam 17 Disember. Antara yang menyampaikan ucapan takziah adalah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang ternyata sedih dengan berita kematiaan Muhammad Adib.
“Takziah. Sangat sedih atas pemergian anggota bomba Muhammad Adib. Semoga keluarga boleh bertabah sama seperti semangat pengorbanan Adib yang berani,” tulisnya yang juga Menteri Kewangan di Twitter. Penolong Setiausaha DAP Wanita, Young Syefura Othman pula mengajak orang ramai berfikir sejenak mengenai bagaimana anggota pasukan beruniform negara ini mempertaruhkan nyawa bagi menjalankan tugas mereka. “Bagi sesetengah orang, ia hanyalah satu pekerjaan yang mereka pilih. Bagi mereka, ia lebih daripada pekerjaan. Ia adalah tugas dan tanggungjawab,” ujarnya yang juga Adun Ketari di Twitter. Muhammad Adib, 24, mengalami cedera parah semasa insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, dekat USJ pada 27 November.
Beliau dipercayai diserang beberapa perusuh. Kes berkenaan kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh oleh polis. – Roketkini.com