(27-3-2018)
Pasukan peguam Lim Guan Eng hari ini berkata testimoni saksi pendakwaan dalam perbicaraan rasuah ketua menteri Pulau Pinang itu menjadi bukti beliau tidak membeli banglo di Jalan Pinhorn bawah nilai pasaran. Peguam Gobind Singh Deo berkata salah seorang saksi pendakwaan, Pengarah Henry Butcher cawangan Pulau Pinang Teoh Poh Huat, pagi tadi memberitahu mahkamah bahawa harga banglo itu pada 2008 adalah RM2.5 juta. Teoh setuju pembeli rumah biasanya membuat persetujuan berhubung harga rumah sebelum menandatangani perjanjian jual beli. “Jelas saksi pendakwaan mengaku perjanjian berkaitan harga hartanah yang menjadi pertikaian dibuat sebelum Ogos 2013.”Kami akan membuktikan dalam perbicaraan ini bahawa sebenarnya persetujuan untuk harga rumah dicapai pada suku pertama 2012.
“Kami bertegas ketua menteri tidak melakukan apa-apa kesalahan, begitu juga tertuduh kedua, Phang Li Koon, seperti yang didakwa,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini. Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam, iaitu ketua menteri, untuk mendapatkan keuntungan bagi diri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd. Tuduhan kedua berkenaan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan satu lot tanah dan sebuah banglo di No 25, Jalan Pinhorn, George Town pada 28 Julai 2015 daripada Phang pada harga RM2.8 juta, harga yang didakwa beliau ketahui tidak sepadan dengan nilai pasaran bagi hartanah berkenaan iaitu RM4.27 juta. Phang didakwa menjadi pemegang saham dalam Magnificient Emblem. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Gobind berkata lagi, 14 individu yang dipanggil pihak pendakwaan hari ini adalah saksi “rasmi” yang diminta mengesahkan dokumen rasmi seperti hak milik rumah dan cek bank.
Kontraktor diminta menunjukkan Phang telah menjalankan kerja baik pulih di rumah itu, sementara pegawai bank untuk mengesahkan Lim membayar deposit melalui cek. “Kami sentiasa berpendirian bahawa bukti akan menunjukkan harga dipersetujui dicapai pada suku pertama 2012. “Dalam keadaan ini, kami merasakan tiada asas untuk mendakwa ketua menteri beliau membeli rumah pada 2015 bawah nilai pasaran. “Ia adalah tuduhan tak berasas dan kita akan terus melawan,” katanya yang juga anggota parlimen Puchong. ‘Konspirasi politik’. Sementara itu Lim memberitahu media telah terlepas menyaksikan Gobind mengendalikan soal jawab balas dengan hebat terhadap saksi pendakwaan pertama, Muhsin Latheef, iaitu individu yang membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya. Menurut Lim, Gobind telah menunjukkan Muhsin, dikenali dengan nama “Mamu Parpu”, adalah penyokong kuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. “Malah dia menggunakan hashtag ‘Kami Gang Najib’. “Ini adalah konspirasi politik dan kami berharap dapat membuktikannya di mahkamah. Sekurang-kurangnya saya dapat membersihkan nama saya,” katanya lagi.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hadharian Syed Ismail menangguhkan perbicaraan ke 9 April ini untuk membenarkan Gobind dan Lim menjalankan tugas selaku anggota parlimen.