Najib musuh negara, kata Tun Dr Mahathir.

(14-10-2017)

Najib musuh negara, kata Tun Dr Mahathir.

Himpunan anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN) berlangsung hari ini dengan mengambil slogan antikleptokrasi – Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi – bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya.

Himpunan berkenaan adalah susulan reaksi terhadap saman sivil terbaru Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan isu 1MDB selain merupakan langkah pemimpin HARAPAN memberi kefahaman kepada orang ramai berkenaan skandal yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perhimpunan itu akan dihadiri oleh pemimpin dari parti komponen HARAPAN iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

11.00pm – Padang Timur: Himpunan Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi anjuran HARAPAN akhirnya melabuhkan tirainya.

Penganjur mengumumkan sejumlah 25,000 yang hadir menyertainya.

Jumlah kutipan bagi sumbangan dana pula ialah RM68,329. Wang itu akan digunakan untuk menampung kos penganjuran himpunan, dan bakinya diagihkan kepada empat parti komponen HARAPAN.

10.25pm – Padang Timur: Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya mengambil alih pentas bagi menyampaikan ucapan penutup.

Beliau yang juga presiden HARAPAN menggelarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai musuh negara.

“Bersatu kita teguh, bercerai Najib menang,” katanya.

Mahathir berikrar yang HARAPAN akan menjadikan Malaysia kembali “mulia” dan menjadi antara 10 negara paling bersih di dunia menjelang 2030, jika mereka berjaya mentadbir negara.

Mahathir berkata, HARAPAN akan mengambil lima langkah antirasuah bagi masa 100 hari mentadbir negara, antaranya menangkap “Malaysian Official 1”, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat dakwaan penyelewengan 1MDB dan Felda dan menubuhkan badan bebas untuk mengembalikan aset rakyat yang diselewengkan.

SPRM akan dijadikan badan bebas dan diletakkan di bawah Parlimen dan amalan rundingan terus bagi kontrak kerajaan juga akan dihapuskan, katanya lagi.

Walaupun mengakui Padang Timur, yang mampu memuatkan kira-kira 40,000 peserta, masih tidak penuh, beliau berkata ia akan penuh jika hadirin yang berada di belakang pentas memasuki kawasan padang.

10.15pm – Taman Jaya LRT: setakat pukul 9.30 malam, masih ramai yang tiba, dan juga meninggalkan, himpunan dengan menaiki LRT.

Sebahagian yang baru tiba memberitahu Malaysiakini yang mereka menunggu kemuncak himpunan sebelum ke Padang Timur.

Manakala yang pulang ke rumah pula berkata, mereka sudah berada di sini sejak pukul 4 petang dan mahu mengelak kesesakan nanti.

“Kita masih boleh menonton himpunan melalui ‘livestream’ di rumah,” kata seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Maznah, dari Klang.

Beliau bersama-sama kira-kira 20 peserta lagi membawa belon dan bendera PKR, dan kelihatan kekal bersemangat dan bersorak ketika menunggu LRT di platform.

‘Jangan lupa Anwar’

10.10pm – Padang Timur: Semua pemimpin HARAPAN yang berada di pentas bangun untuk membacakan “Ikrar Padang Timur” dan mengangkat plakad “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi”.

“Malaysia ini rakyat yang punya,” laung mereka selepas membaca ikrar.

Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada di sana, keberadaannya tetap dirasai melalui tayangan video koleksi ucapannya.

Keadaan di Padang Timur bertukar diam apabila hadirin menumpukan perhatian terhadap video itu.

Hanya sekali sorakan memecahkan suasana, di saat gambar Datuk Seri Najib Razak terpapar di layar.

Sebelum itu, Presiden HARAPAN dan isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan ringkas 30 saat.

“Jangan lupa Anwar, jangan lupa Tian Chua!”

“Turun ke pilihan raya dan undi Pakatan Harapan,” katanya.

10.00pm – Padang Timur: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekali lagi berjanji akan mengekalkan Skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Bercakap di hadapan 8,000 peserta himpunan anti-kleptokrasi sebentar tadi Guan Eng berkata pengekalan BR1M mampu dilakukan kerana pentadbiran kerajaan pimpinan pembangkang itu bersih.

“Kalau anda sokong untuk kita gantikan BN kita akan buat baik terhadap negara dengan menghapuskan GST.

“Pada masa yang sama kita akan kekalkan BR1M, kita mampu buat demikian kerana kita bersih dan rakyat pasti akan dapat wang,” kata Guan Eng.

9.50pm – Padang Timur: Pengacara majlis mengumumkan risalah yang menunjukkan kabinet bayangan HARAPAN yang diedarkan ketika himpunan adalah palsu.

Beliau menunjukkan salinan risalah itu, yang menunjukkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang sebagai perdana menteri.

Sambut hari lahir Mat Sabu

9.40pm – Padang Timur: Presiden Amanah Mohamad Sabu diraikan sempena hari kelahiran ke-63.

Mat Sabu mengakui beliau tidak pernah meraikan hari lahir sebelum ini.

“Saya orang kampung, saya tidak pernah sambut hari lahir,” katanya sebelum hadirin menyanyikan lagu meraikan hari kelahirannya.

9:15pm – Padang Timur: Bekas presiden Majlis Peguam Datuk S Ambiga sekali lagi mengulang seruannya agar rakyat memberi peluang satu penggal pada HARAPAN untuk mentadbir negara.

“Mari kita beri HARAPAN lima tahun seterusnya. Jika kita tidak berpuas hati, kita tolak mereka selepas itu,” katanya.

Ucapannya diikuti deklamasi sajak oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, bertajuk ‘Hidup Bersama’.

“Selagi tiada ketidakadilan, lawan tetap lawan,” katanya memetik slogan yang selalu disebut Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ketika menutup bacaan sajaknya.

Pemimpin yang sakit

9.00pm – Padang Timur: Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini menghidap penyakit kronik bernama kleptomania.

“Satu dua hari ini saya semak kamus, rupa-rupanya ada penyakit namanya ‘kleptomaniac’,” katanya dalam ucapannya.

Kleptomania bermaksud kegagalan untuk menahan diri daripada mencuri yang biasanya bukan bertujuan peribadi.

“Najib sedang tenat, beliau sebenarnya pemimpin yang sakit yang gila untuk mencuri dan merompak duit rakyat,” katanya.

Bekas pemimpin kanan PAS itu menyeru peserta himpunan agar memilih pemimpin yang lebih baik dan mampu “membina semula” Malaysia.

8.55pm – Padang Timur: Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Padang Timur, selepas berehat seketika.

Ketika ketibaannya, beliau disambut sorakan hadirin yang memenuhi bahagian depan pentas.

Bekas perdana menteri itu dijadual berucap pada pukul 10.25 malam ini.

Terdahulu, pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah turut tiba bagi menyertai himpunan.

8.35pm – Padang Timur: Pemangku Presiden DAP Tan Kok Wai dalam ucapannya memaklumkan hari ini merupakan hari lahir Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

“Beliau tidak beritahu saya dan saya pun tak bertanya, tetapi saya tahu harapan terbesarnya adalah menumbangkan kerajaan BN,” katanya.

Tan juga menggesa hadirin menyumbang dalam kutipan dana yang dilancarkan Mat Sabu sebelum itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa keadaan negara telah menjadi buruk kerana perdana menteri yang mengamalkan kleptokrasi, dan menjadi mangsa negara lain demi kepentingan ekonomi dan geopolitik mereka.

“Apabila mereka melihat perdana menteri lemah dan merayu di sana-sini, mereka aakn datang dan meminta pelbagai perkara.

“Dan isu geopolitik ini sangat bahaya, kerana ia melibatkan soal kedaulatan negara,” katanya.

8.30pm – Padang Timur: Kehadiran peserta himpunan semakin bertambah. Jumlah kini dianggarkan sekitar 5,000.

Sesetengah mereka dilihat duduk di atas padang sementara yang lain memenuhi kawasan tempat duduk berhadapan pentas utama.

Veteran PKR Syed Husin Ali berkata beliau berpuas hati dengan kehadiran setakat ini, meski masih jauh dari sasaran asal penganjur.

“Nampaknya ada sokongan untuk himpunan ini. Ini menunjukkan orang ramai marah dengan isu 1MDB,” katanya.

Di salah sebuah khemah yang didirikan, pengasas Pusat Memerangi Rasuah & Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata, mereka berjaya menjual 100 set permainan Kleptopoly,