Kementerian Pendidikan belanja puluhan juta untuk Sekolah Kebangsaan

Pendidikan adalah asas penting kepada pembangunan modal insan yang akan mencorakkan hala tuju negara. Menyedari hakikat itu, Kementerian Pendidikan di bawah teraju Dr Maszlee Malik telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20.7 juta bagi pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi. Ia diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Oktober lepas dan merupakan sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM67.58 juta dalam Pelan Rancangan Malaysia ke-11 untuk Selangor.

Selain daripada itu, kerajaan PH juga cuba melunaskan janji yang pernah ditabur oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini berhubung sumbangan melibatkan pendidikan. BN sebelum ini berjanji untuk memberikan sumbangan sebanyak RM1.5 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hua Lian 2 bagi membantu menampung kos pemindahan yang keseluruhannya berjumlah RM8.5 juta. RM7 juta telah dikumpul sendiri oleh ahli lembaga sekolah berkenaan. Semasa pentadbiran BN, Menteri Pendidikan ketika itu berjanji untuk menyumbang sebanyak RM1.5 juta kepada sekolah berkenaan. Janji sama pernah diulang sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 oleh BN iaitu kerajaan BN akan menyumbang RM1 juta jika sekolah berkenaan dapat mengumpul RM1 juta. Kedua-dua janji berkenaan tidak pernah ditunaikan oleh kerajaan BN sehingga menyebabkan SJKC Hua Lian 2, yang siap dan beroperasi pada Januari 2018 lalu, menanggung hutang sebanyak RM1.5 juta. Prihatin dengan masalah itu, kerajaan PH mengambil keputusan untuk membantu sekolah berkenaan. – Roketkini.com