Kerajaan Pakatan Harapan beri bantuan tanpa kira kaum & agama.

Ucapan oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Lembah Bertam pada Rabu, 16 Januari 2018; Saya baru sahaja pulang dari Kampung Orang Asli Janggap di Pos Sinderut dan merasakan yang jalan untuk ke kawasan tersebut antara jalan paling teruk yang pernah saya lalui sepanjang berkempen di Cameron Highlands sejak dua minggu lalu. Saya difahamkan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan tiba di Cameron Highlands untuk membantu kempen Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Sementara beliau berada di sini selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad, besar harapan saya sekiranya beliau dapat berkempen sehingga ke kampung pedalaman Orang Asli menggunakan jalan “roti canai” bagi melihat sendiri bagaimana beliau, selaku Perdana Menteri Keenam, telah mengabaikan kebajikan Orang Asli di Cameron Highlands dan di seluruh negara apabila gagal menyediakan infrastruktur paling asas untuk masyarakat tersebut. Sepanjang saya melakukan lawatan ke kampung Orang Asli, saya mendapati Kampung Janggap, Kampung Lemoi, Kampung Barehnyis dan Kampung Orang Asli di Pos Terisu adalah antara kawasan yang mempunyai jalan dan laluan yang paling teruk. Sukar untuk saya lupakan pengalaman terperangkap di Kampung Orang Asli Simoi Lama pada ambang tahun baharu bersama-sama Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack; Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong, dan calon Pakatan Harapan bagi PRK Cameron Highlands M. Manogaran, di mana kami terputus dari dunia luar dan terpaksa merentas arus deras sungai untuk sampai ke Pos Lenyang dan Pos Titom.

Secara berseloroh, saya diberitahu jika kenderaan saya dihanyutkan oleh arus sungai yang deras, tidak mustahil ia akan terus hanyut sehingga ke Lipis! Keadaan infrastruktur yang begitu teruk di kawasan pedalaman Orang Asli harus dilihat dengan mata kepala sendiri, dan saya menyeru agar Najib turun dan melihat sendiri bagaimana beliau, sepanjang menjadi perdana menteri selama lapan tahun, telah mengabaikan kebajikan Orang Asli, dan beliau harus melawat kawasan pedalaman Orang Asli dengan menggunakan kenderaan yang digunakan seharian oleh Orang Asli, bukan dengan helikopter. Di Kampung Janggap, saya lihat terdapat beberapa tangki air tersedia, namun tiada bekalan air bersih; apatah lagi elektrik; dan ini akan menyebabkan penduduk kampung, khususnya kanak-kanak, terdedah kepada penyakit.

Bolehkah Najib jelaskan mengapa setelah 60 tahun Merdeka, Orang Asli masih lagi tidak disediakan dengan perkhidmatan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih; elektrik; sistem jalan yang baik; pendidikan asas serta perubatan; dan yang paling penting, berhubung penyelesaian tanah adat Orang Asli?
Walaupun Pakatan Harapan telah membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh kami berkenaan dengan tanah adat Orang Asli kerana Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa dalam hal ehwal tanah negeri.

Pakatan Harapan, bertekad mahu menyelesaikan masalah berhubung tanah adat Orang Asli, namun harus menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15, selepas Pakatan Harapan berjaya mentadbir kerajaan negeri Pahang dan melantik Menteri Besarnya. PRK Cameron Highlands akan menjadi ujian paling penting untuk melihat sejauh mana Pakatan Harapan berpeluang untuk menawan Kerajaan Negeri Pahang pada PRU15 nanti supaya kami dapat menyelesaikan pelbagai ketidakadilan dan masalah melibatkan Orang Asli khususnya yang membabitkan soal tanah adat. – Roketkini.com