Rahim Thamby Chik adalah ‘Bapa Segala Skandal Melaka’

Saya merujuk kepada pengumuman Rahim Thamby Chik dan pengikut-pengikutnya untuk keluar dari parti UMNO. Keputusan untuk keluar parti adalah hak mereka, tetapi saya menolak sebarang cadangan untuk menerima Rahim Thamby Chik dan pengikut-pengikutnya ke dalam mana-mana parti Pakatan Harapan (PH) Melaka. Jelas bahawa baru-baru ini, UMNO sedang mengalami krisis dalaman di mana pemimpin demi pemimpin berpusu-pusu untuk keluar parti. Perkara ini dilakukan bukan untuk agenda reformasi tetapi untuk kepentingan diri mereka.

Untuk peringatan, Rahim Thamby Chik merupakan bekas Ketua Menteri Melaka yang terlibat dalam pelbagai skandal. Pada tahun 1994, beliau terlibat dalam kejadian rogol statutory terhadap seorang pelajar sekolah, yang kemudiannya kes ini ditutup oleh Peguam Negara. Sebaliknya, Lim Guan Eng, yang merupakan Ahli Parlimen Kota Melaka ketika itu, dipenjarakan di bawah Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan apabila beliau tampil membela nasib dan menuntut keadilan untuk mangsa. Pada tahun 1994, menurut sebuah laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar pada tahun 1999, Peguam Negara dan Badan Pencegah Rasuah mendapati terdapat bukti prima facie bahawa Rahim Ramby Chik terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kes Syarikat Dayamik. Peguam Negara sekali lagi menutup kes tersebut dan tiada tindakan diambil.

Pada tahun 2011 juga, Rahim Thamby Chik merupakan dalang yang menyiarkan video seks palsu untuk menganiayai Datuk Seri Anwar Ibrahim. Oleh itu, Rahim Thamby Chik bukanlah “Bapa Pembangunan Melaka” sepertimana yang diuar-uarkan, tetapi merupakan “Bapa Segala Skandal Melaka”. Saya menyeru agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak sekeras-kerasnya sebarang permohonan keahlian oleh Rahim Thamby Chik dan pengikut-pengikutnya. Jika tidak, kemasukan Rahim Thamby Chik akan merosakkan integriti Kerajaan Negeri dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap PH Melaka.
Di peringkat nasional, saya menyeru agar Majlis Presiden PH membicarakan isu lompat parti ini secara menyeluruh dan membuat keputusan tegas untuk menolak dan menghentikan perkara ini daripada terus merebak.

Penerima bekas pemimpin-pemimpin UMNO ke dalam PH juga merupakan suatu pengkhianatan kepada rakyat dan ahli-ahli PH yang telah bertungkus-lumus melawan rejim Barisan Nasional untuk bertahun-tahun. Parlimen dan Kabinet juga harus membincangkan isu ini untuk mengambil langkah mereformasikan undang-undang supaya kelakuan lompat parti yang tidak beretika dapat dielakkan, kerana perkara ini telah banyak kali menggugat integriti sistem demokrasi negara. – Roketkini.com