Tegakkan Keadilan Demi Teoh Beng Hock Gesa Polis Buka Semula Siasatan Segera

Kenyataan Media Bersama Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis DAP (AJK DAPSY) Leong Yu Sheng, Tan Tiong Yih dan Woo Kah Leong pada 25.12.2018; Kami menyeru kerajaan Pakatan Harapan untuk menegakkan keadilan demi Teoh Beng Hock tanpa berlengah lagi. Difahamkan bahawa kabinet telah bersetuju untuk membuka siasatan semula terhadap kematian Teoh Beng Hock pada Jun 2018. Saudara Teoh telah meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di Bangunan SPRM selepas memberikan keterangan.

“Walaupun Mahkamah Rayuan telah memutuskan rejim kerajaan sebelum ini untuk membayar RM600,000.00 kepada keluarga Teoh sebagai pampasan, namun sebenarnya pembunuh sebenar Teoh masih belum dihadapkan ke muka pengadilan dan maka keadilan demi Teoh Beng Hock masih belum ditegakkan sehingga kini walaupun anak Teoh sudah berusia 8 tahun,” ujar ketiga-tiga AJK DAPSY tersebut. Sesungguhnya pembukaan semula siasatan kes terhadap insiden Teoh Beng Hock adalah menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan di bawah Malaysia Baharu adalah bertekad untuk menegakkan keadilan demi individu seperti Teoh Beng Hock yang dizalimi di bawah rejim UMNO BN.

Bersama dengan saudara Lim Kit Siang serta Ramkarpal Singh yang turut menyeru untuk membuka semula siasatan, kami sekali lagi menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk menegakkan keadilan demi Teoh Beng Hock serta mendesak pihak polis untuk membuka siasatan kes tanpa berlengah lagi.