Nature, jurnal saintifik terkemuka antarabangsa menyenaraikan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Yeo Bee Yin sebagai salah seorang individu paling penting tahun ini. Jurnal yang mula diterbitkan pada tahun 1869 itu, menyenaraikan Bee Yin di tangga ketujuh senarai tersebut sambil menyifatkan beliau sebagai juara alam sekitar menentang pencemaran plastik. Graduan Cambridge tersebut dilantik Tun Dr Mahathir menyertai jemaah menteri Malaysia Baharu, bermula awal Julai lalu dan telah mengambil banyak langkah berani ke arah penambaikan pengurusan alam sekitar, serta sains dan teknologi.
September lalu, kerajaan menyasarkan untuk menghentikan penggunaan plastik pakai buang menjelang 2030, menjadi Malaysia negara pertama di rantau Asia Tenggara mengambil langkah berani terhadap pencemaran plastik. Sebulan kemudian, kerajaan mengehadkan import plastik yang mengakibatkan meningkatnya bilangan loji kitar semula haram di rantau ini. Bukan sahaja itu, Bee Yin turut tegas melaksanakan amanahnya dengan membatalkan empat kontrak pengeluar tenaga bebas, yang hampir pasti akan diusahakan oleh syarikat arang batu. Bee Yin turut tidak gentar untuk berdepan dengan syarikat Lynas yang sehingga kini masih berdalih tentang sisa radioaktif di Gebeng, Kuantan; malah bersedia untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.
Anak kelahiran Segamat berusia 35 tahun ini, membesar di tengah-tengah estet Gomali, di mana ibunya bekerja sebagai kerani. Beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas, sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Cambridge di bawah Biasiswa Cambridge-Gates. Kembali ke Malaysia, Bee Yin terlibat langsung dalam kempen media sosial DAP sekitar 2012, sebelum menjadi calon dan menang di kerusi DUN Damansara Utama pada PRU ke-13. Beliau kini menyandang kerusi Parlimen Bakri. – Roketkini.com