PAS harus menyertai Bersih 5.0 sekiranya ikhlas ingin bekerjasama dengan pakatan pembangkang
1. Bersih 5.0 akan diadakan pada 19/11/16 di Dataran Merdeka. Ini adalah perhimpunan aman dengan 5 tuntutan bertujuan untuk menyelamatkan negara kita dari Kleptokrasi BN yang kian memerah hidup rakyat serta memusnahkan sistem demokrasi berparlimen negara.
2. Semua parti pembangkang termasuk KEADILAN, DAP, AMANAH mahupun BERSATU telah bersetuju sebulat suara untuk menyertai perhimpunan aman ini sebagai usaha menyatakan pendirian menuntut pilihanraya yang adil, bebas dan bersih serta melawan rasuah. Parti2 komponen Barisan Nasional turut dipelawa untuk menyertai himpunan aman ini tetapi pelawaan tersebut telah ditolak oleh mereka.
3. Jika PAS ikhlas ingin bersama dengan pembangkang dan bukan untuk menyelamatkan UMNO-BN, maka sebagai langkah permulaan adalah wajar semua pimpinan PAS termasuk presidennya Dato Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan kepada Bersih 5.0 serta menyertai himpunan aman ini tanpa sebarang syarat.
4. Sebarang alasan untuk PAS tidak menyertai Bersih 5.0 boleh dianggap PAS ingin bersekongkol dengan UMNO dan melalui tindakan tersebut rakyat akan ketahui agenda sebenar parti tersebut.
5. Perlu ditegaskan sejak perhimpunan Bersih bermula pada tahun 2007, ia adalah perhimpunan aman yang dianjurkan oleh lebih 200 NGOs rakyat Malaysia yang cinta kepada negara. 5 tuntutan Bersih termasuk pilihanraya bebas & adil, kerajaan Bersih, hak membantah, mempertahankan sistem demokrasi berparlimen serta memperkasakan Sabah & Sarawak kesemunya menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu semua rakyat wajib menyatakan sokongan supaya sistem demokrasi negara kita tidak dimusnahkan oleh pihak Kleptokrasi yang kian ghairah merompak kekayaan negara kita tanpa segan silu.
6. Sekiranya PAS membuat keputusan tidak menyokong Bersih, kegagalan PAS untuk bersama Bersih akan memperlihatkan parti tersebut sudah menjauhkan diri dari matlamat deklarasi rakyat dan pakatan pembangkang harus terus mara ke depan tanpa PAS.
Nga Kor Ming
Timbalan Bendahari Agong DAP Ahli Parlimen Taiping