GEORGE TOWN, 28 SEPT: Penceramah terkenal, Ustaz Wan Ji Wan Hussin berharap kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang terus melaksakan usaha pembaikan demi kepentingan rakyat selaras dengan saranan Al-Quran.
Beliau yang baru dilantik sebagai Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri telah menunjukkan komitmen terhadap masyarakat Melayu dan Islam.
“Saya melihat Pulau Pinang melakukan banyak kebaikan untuk rakyat, terutama kepada orang Melayu dan Islam, dan saya berasa kebaikan ini wajar diteruskan,” katanya kepada media lapor Bulletin Mutiara.
Menurutnya, atas semangat Islam, politik adalah kebaikan yang yang perlu datang dari pemerintah kepada rakyat merujuk kepada ayat 117 Surah Hud yang bermaksud; “Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.”
“Kerajaan, menurut ayat itu adalah pemerintah yang tidak beragama Islam.
“Atas semangat Islam, saya percaya politik ini adalah kebaikan, mesti ada daripada pemerintah dan rakyat,” katanya.
Terlebih dahulu Wan Ji melafaz sumpah terimaan jawatan di hadapan Ketua Menteri, Lim Guan Eng disaksikan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Penasihat Strategik Kepada Ketua Menteri).
Ustaz Wan Ji merupakan lulusan dari beberapa institusi pendidikan agama dalam dan luar negara.
Beliau mendapat pendidikan awal di Institut Pendidikan al-Balaghul Mubin (Pasir Mas Kelantan- tahfiz al-Quran) sebelum melanjutkan pengajian di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan; Karachi, Pakistan; Universiti Al-Azhar, Mesir (Syariah Islammiyah) dan Universiti Malaysia Kelantan (Kesusasteran). –Roketkini.com