Kempen PRU14 telah bermula di media sosial meski hari penamaan calon telah ditetapkan pada 28 April, diikuti hari mengundi pada 9 Mei. Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Najib Razak dipercayai sedang berada dalam keadaan ketakutan apabila tarikh hari Rabu 9 Mei itu dilihat sebagai cubaan untuk menyusahkan rakyat untuk pulang mengundi. Bagi pemimpinan vetera DAP Lim Kit Siang, teori RAHMAN sudah sampai ke penghujungnya, dengan Najib Razak sebagai perdana menteri terakhir dalam urutan teori tersebut. “Secara berseloroh saya ada mencadangkan teori RAHMAN diganti dengan teori MAHATHIR,” ujar Kit Siang.
Tun Dr Mahathir adalah calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, diikuti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon seterusnya. Namun tegas Kit Siang, apa yang penting untuk dilakukan sekarang ialah memastikan HARAPAN boleh menewaskan sebarang cabaran bagi membentuk kerajaan baru di Putrajaya. Boneka siapa sebenarnya? Pun begitu katanya, persoalan mengelirukan yang ditimbulkan oleh Barisan Nasional mesti segera dijawab terlebih dahulu oleh parti pemerintah itu – Adakah Mahathir boneka Kit Siang, atau Kit Siang boneka Mahathir? Bagi Kit Siang, soalan tersebut kini sedang menghantui kepimpinan UMNO-BN, dan membuatkan ucapan serta kenyataan mereka habis berterabur, mengarut dan tidak mempunyai sebarang kredibiliti. “Minggu lalu, aparat propaganda UMNO cuba menghidupkan kembali kempen momok mereka, kononnya Tun Dr Mahathir hanyalah boneka saya, dan saya akan menjadi perdana menteri apabila Pakatan Harapan menang dalam PRU14. “Tetapi pemimpin MCA diketuai Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menuduh saya sebagai boneka Mahathir,” ujar penyandang kerusi Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan. Kempen UMNO dimulakan semula oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang
cuba meyakinkan anggota parti PPBM kononnya Kit Siang yang akan menjadi perdana menteri, bukannya Mahathir. Liow pula kemudian mendakwa bahawa DAP telah mengkhianati pengundi Cina apabila tidak menggunakan lambang roket ekoran kemunculan Mahathir memimpin pakatan pembangkang. Padahal kata Kit Siang, MCA tidak pernah pernah menggunakan logo partinya, dan bersembunyi di sebalik lambang dacing Barisan Nasional. “Jadi adakah Mahathir boneka Kit Siang, atau Kit Siang boneka Mahathir? “Atau adakah pimpinan UMNO da MCA, propagandis dan tentera cyber ‘quinoa’ mereka akan menempuhi PRU14 dengan kedua-dua dakwaan, walaupun ia saling bertentangan?” soal beliau. – Roketkini.com Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi ngakorming.net
Menarik sokongan orang Melayu supaya mengundi DAP bukanlah benda baru. Malah usaha itu lebih jelas dilihat sejak tsunami politik 2008.Pelancaran portal Roketkini.com, penerbitan akhbar The Roket berbahasa Malaysia, penubuhan Sekolah Demokrasi, penganjuran forum, dialog, majlis berbuka puasa dan sebagainya oleh DAP– semua ini adalah usaha bagi menyampaikan maklumat tepat tentang DAP dan perjuangannya. Semua usaha DAP ini jelas, memang untuk menarik sokongan masyarakat Melayu yang selama ini dimomokkan dengan pelbagai karut-marut dongeng UMNO memburuk-burukkan parti roket ini.
Justeru, apabila terkeluar suara sumbang yang cuba memomokkan kononnya undi PKR sama dengan mengundi DAP; kononnya DAP pergunakan PKR untuk tarik sokongan Melayu – nampaknya dakyah sedemikian sudah makan tuan; ini benar-benar dakwaan kelakar. Dakyah dangkal itu tidak lain cuba memanipulasi fakta kononnya DAP mahu menyelinap masuk ke dalam PKR semata-mata meraih sokongan pengundi Melayu lalu merebut kuasa dan menghakis segala keistimewaan. Ini juga satu tuduhan basi maha-kelakar. Jika ikutkan logik semacam ini, mana nak letak PKR, Amanah dan BERSATU? PRU14 ini, DAP bukan sahaja memerlukan sokongan Melayu tetapi DAP juga memerlukan sokongan seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum di negara ini. Begitu halnya dengan komponen HARAPAN yang lain. Kenapa pencacai UMNO – PAS terlalu benak untuk menerima kenyataan jelas ini? Hakikatnya, undi PKR bukan sahaja untuk memenangkan DAP tetapi juga seluruh komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) seperti Amanah, BERSATU, PKR malah termasuk rakan sekutu HARAPAN iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN). Nampaknya, keputusan penggunaan logo PKR yang diumumkan
Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bagi memberi tamparan hebat kepada lawan politik UMNO-BN termasuk PAS yang semacam tidak boleh menerima keterbukaan parti-parti komponen HARAPAN. Niat mereka jelas, apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih gagal meluluskan gabungan HARAPAN secara rasmi, maka pembangkang akan lebih mudah berpecah belah. Namun, niat itu terbantut – HARAPAN malah semakin kuat. Antara tuduhan liar lain yang sering dimomokkan ialah, kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempergunakan PKR demi meneruskan hayat politiknya – termasuk dakwaan kononnya keputusan itu adalah satu penghinaan kepada pejuang-pejuang era reformasi 98. Pada masa yang sama, Mahathir juga dituduh dipergunakan oleh Lim Kit Siang supaya DAP berkuasa di Malaysia. Anehnya, di pihak MCA, pencacai mereka mendakwa DAP pula telah ditindas oleh Mahathir dan BERSATU. Segalanya sudah jelas, UMNO-BN makin tertekan, takut dan mungkin mereka juga merasakan, PRU14 kali ini adalah penamat buat mereka, sebagaimana teori RAHMAN yang meletakkan huruf ‘N’ mewakili
Najib sebagai penghujung pemerintahan parti cap dacing itu. Ya, DAP memang perlukan sokongan Melayu untuk membawa perubahan kepada Malaysia bersama-sama Pakatan Harapan. Simbol PKR adalah faktor penyatu kemarahan rakyat Malaysia. Apa masalah ‘macai’ UMNO? Dia pun bertanding pilihanraya guna lambang dacing untuk raih sokongan Cina. – Roketkini.com Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi ngakorming.net
ULASAN l Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razakberada dalam keadaan cemas. Sentimen rakyat 90 peratus menolak Najib. Mereka tidak akan undi BN dalam PRU14.Oleh itu sudah ternampak penipuan yang dilakukan dan akan dilakukan oleh Najib.Demikianlah dunia percaya Najib akan tipu sehingga The Economist UK telah siar berita bertajuk Najib akan curi PRU14 di Malaysia. Apakah jenis penipuan yang sedang dilakukan oleh Najib. Saya senarai dibawah penipuannya.
Senarai pengundi sudah diubah sehingga empat juta tidak ada alamat yang penuh. Beratus pengundi mempunyai nama yang sama, umur sama tetapi tinggal di negeri-negeri berlainan. Hingga 70 pengundi memiliki alamat yang sama – iaitu tinggal di satu rumah – walaupun berlainan kaum. Apabila diselidik terdapat hanya dua orang di rumah itu. Pengundi pos dan pengundi awal bertambah hingga 1 juta. Cara mengundi pos tidak jelas dan terbuka untuk penipuan. Peti undi boleh disembunyi dari pemerhati parti lawan. Besar kemungkinan kertas undi ditambah. Sempadan kawasan pilihanraya diubah supaya kaum-kaum diasingkan. Kononnya Melayu mudah disogok supaya mengundi BN. Mengikut Najib orang Cina sukar disogok. Ini dilihat dalam PRU13. Pengundi terutama kakitangan Kerajaan ditakutkan dengan dakwaan kononnya Najib tahu siapa undi siapa. Pegawai dan kakitangan Kerajaan diberi amaran oleh Najib sendiri bahawa mereka mesti undi BN atau tindakan akan diambil terhadap mereka. Sebenarnya tiada siapa yang akan tahu siapa undi siapa apabila perkiraan dibuat.
Bantuan wang kepada parti lawan disekat dengan tindakan oleh LHDN dan MACC menambah cukai atau membeku wang di bank supaya perniagaan tidak dapat diteruskan. Semua kawan-kawan pemimpin parti lawan ditegah berdekat dengan pimpinan parti lawan. Maka pemimpin parti lawan kehilangan semua kawan. Sudah tentu mereka tidak boleh bantu Pakatan Harapan. Kontrak mereka, perniagaan mereka, hutang bank mereka akan dihentikan jika masih berjumpa pemimpin parti lawan. Tindakan-tindakan ini menentukan parti lawan tidak ada kewangan yang diperlukan untuk biayai pilihanraya. Sebaliknya Najib memiliki banyak duit yang diselewengkan dari 1MDB dan lain-lain dan lain-lain dana kerajaan. Sogokan wang dan barangan kepada bakal pengundi dibuat secara terbuka oleh Najib dan Umno sebab polis atau SPRM tidak dibenar oleh Najib mengambil tindakan undang-undang. Tempat mengundi ditukar tanpa diberitahu pengundi supaya apabila mereka pergi ke tempat mengundi biasa nama mereka tidak ada disitu. Tempat undi mereka dipindah jauh dari tempat tinggal pengundi.
Dengan itu mereka tidak dapat mengundi. Hak mereka dicabul. Daftar pengundi baru disembunyi daripada parti lawan sehingga tidak dapat parti lawan berkempen di kalangan mereka. Pada kebiasaannya parti politik yang baru ditubuh didaftar oleh Pendaftar Pertubuhan dengan segera. Tetapi permohonan gabungan parti pembangkang yang dinamakan Pakatan Harapan tidak dijawab setelah sembilan bulan berlalu. Keadaan tidak menentu ini meletak Pakatan Harapan dalam keadaan serba salah. Pakatan Harapan tidak dapat membuat persiapan sebagai sebuah parti dengan mengguna satu logo dan satu simbol baginya. Jika diketahui Pakatan Harapan tidak akan didaftar maka parti-parti dalam Pakatan Harapan perlu guna empat simbol sendiri. Ini akan mengelirukan pengundi berkenaan yang manakah simbol bagi parti-parti lawan yang bergabung dalam Pakatan Harapan. Kononnya Pakatan Harapan tidak dilulus pendaftarannya ialah kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak mengikut perlembagaannya. Ini disebut dalam ucapan ROS tetapi tidak disampaikan secara bertulis kepada BERSATU.
BERSATU tidak dapat perbetulkan kesalahannya untuk mendapat kelulusan ROS. Arahan mahkamah kepada ROS untuk jawab surat BERSATU hanya menghasil surat dari ROS meminta tambahan maklumat yang sudahpun lama diberi oleh BERSATU. Di antara sebab-sebab yang banyak ialah kerana mesyuarat agung BERSATU tidak mengikut perlembagaan. BERSATU mesti adakan mesyuarat cawangan dahulu. BERSATU parti baru dan belum ada cawangan jauh sekali mengadakan cawangan yang disahkan oleh ROS. BERSATU hanya dapat tubuh bahagian dan tidak semua diluluskan oleh ROS. Sebab itu BERSATU terpaksa mengadakan mesyuarat agung BERSATU dengan dihadiri oleh wakil bahagian yang dilulus sahaja. Ternampak jelas ROS hendak cari salah supaya Pakatan Harapan tidak didaftar. Sekarang ROS telah bubar sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia supaya tidak boleh bertanding dalam pilihanraya. Bermacam syarat dikenakan termasuk ditegah pamer gambar pengerusinya. Pembubaran selama 30 hari didapati sama dengan pilihanraya. Niat jahat Kerajaan dan ROS amat jelas. Undi Pos.
Peraturan mengundi pos tidak jelas. Pengundi boleh undi di rumah dan hantar undinya kepada SPR. Tidak ada polling agen parti pembangkang mengawasi pengundi atau sesiapa lain semasa mengundi. Parti lawan tidak dapat mengetahui siapa yang mengundi, ke mana undi itu dihantar, siapa yang menyimpannya, di mana peti undi (jika ada) disimpan. Pengundi pos juga disenarai dalam senarai pengundi biasa dan boleh mengundi secara biasa. Besar kemungkinan pengundi undi dua kali. Juga undi mungkin tidak dapat dirahsiakan; yang mana ini mendedahkan kepada ugutan tindakan tertentu oleh Kerajaan. Amatlah jelas proses PRU14 akan dipenuhi dengan aneka jenis penipuan oleh Najib. Ia tidak akan bersih. Benarlah Najib akan mencuri PRU ke -14. Namun penipuan ini boleh dibantut oleh rakyat dengan keluar mengundi lebih dari 85 peratus pengundi dalam tiap-tiap kawasan pilihanraya. Dan sekarang hari mengundi ditetapkan pada hari Rabu, hari bekerja. Ini satu lagi cara Najib untuk sekat rakyat dari mengundi. Ya, semasa saya PM pernah hari mengundi ditentukan pada hari Isnin.
Tetap diberi cuti pada hari itu. Jangan takut. Undi biasa di tempat mengundi adalah rahsia. Jika kelebihan mengatasi 10,000 bagi Pakatan Harapan, undi pos tidak akan mencukupi untuk disumbat ke dalam peti undi. Jika disogok – ambil sahaja wang dan hadiah. Wang dan hadiah ini datang dari wang pengundi sebagai rakyat yang dicuri oleh Najib. Pengundi tidak perlu terima kasih kepada Najib atau mengundi BN. Jika disuruh bersumpah, bersumpahlah. Tetapi buat niat lain – niat untuk menolong Pakatan Harapan Niat lebih diterima dari sumpah paksa yang dilafaz. TUN DR MAHATHIR MOHAMAD adalah bekas perdana menteri keempat yang dicalonkan sekali lagi ke jawatan itu oleh Pakatan Harapan. Beliau kini adalah pengerusi BERSATU dan menerajui gabungan pembangkang, Pakatan Harapan. Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi ngakorming.net.