Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menerima kunjungan wakil Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) di pejabatnya dekat Putrajaya, pada 29 Januari lalu. Kunjungan ini merupakan satu penghargaan atas keputusan tegas dan berani oleh pihak kerajaan Malaysia melarang perenang Israel daripada memasuki Malaysia bagi menyertai kejohanan sukan tersebut yang sepatutnya diadakan di Kuching, Sarawak. “Kami berharap Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam perjuangan rakyat Palestin di semua peringkat dan dengan apa cara sekalipun,” ujar PCOM dalam sepucuk surat kepada Steven yang juga merupakan Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang.
10 Januari lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menegaskan Putrajaya tetap dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak antara 29 Julai hingga 4 Ogos depan walaupun mendapat tekanan pihak antarabangsa. Susulan itu lembaga pengurusan Jawatankuasa Para Antarabangsa yang bermesyuarat di London Ahad lalu membuat keputusan bahawa Malaysia hilang kelayakan untuk menganjurkan kejohanan berkenaan. Dr Mahathir bagaimanapun tidak ambil pusing dengan tindakan badan antarabangsa tersebut. “Dia nak batal, batallah! Saya dapati bahawa dunia terpaksa ikut Israel, saya tak faham lah. Kuasa dunia ada kuasa, tapi dia terpaksa ikut Israel. Kita tak ikut,” katanya.