Perdana Menteri Berharap Media Membantu Kerajaan Melawan Rasuah

(10-07-2018)

Pihak media berperanan membantu kerajaan membanteras rasuah kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita mengenai permintaannya sempena ulang tahun kelahiran ke-93 hari ini. “Saya harap media membantu kami melawan rasuah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi tadi. SPRM hari ini mengadakan taklimet kepada semua wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) mengenai pendekatan baru antirasuah jabatan itu.

Taklimat disampaikan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed. Katanya, taklimat itu bertujuan untuk memastikan wakil rakyat memimpin berdasarkan tauladan. Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir semalam mengumumkan agar semua wakil rakyat HARAPAN mengisytiharkan harta dan melaporkan sebarang hadiah yang diterima kepada pihak berkuasa. Di samping itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengingatkan pentadbir dan penjawat awam tidak menggunakan kuasa yang diberi demi kepentingan peribadi, keluarga atau sahabat handai. Berucap ketika perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Putra, beliau berkata penting untuk setiap penjawat awam mengamalkan nilai murni dalam menjalankan tugas mereka. “Kuasa yang diberi bukan untuk kita raih kekayaan tetapi kuasa diberi untuk tujuan tertentu bagi mentadbirkan negara tercinta dengan sebaik mungkin dan kita punyai kebolehan yang diperlukan dengan nilai hidup yang mulia,” katanya.

Namun, Perdana Menteri berkata kadang kala apabila mendapat peluang untuk membuat sesuatu untuk diri sendiri, ada pihak yang terpesong dan lupa akan tugas mereka. “Kita tidak diberi kuasa di peringkat ini untuk mengkayakan diri kita tetapi supaya dapat jalankan tugas tertentu. Inilah sebabnya kita berkuasa, apabila sahaja kita menyeleweng, menyalahgunakan kuasa, percayalah kita sendiri akan jadi mangsanya kemudian,” kata Tun Dr Mahathir. Mengambil contoh budaya dan nilai yang diamalkan di negara maju, Tun Dr Mahathir berkata kebanyakan rakyat dan pentadbir mereka rajin bekerja, beramanah, tekun dan belajar menguasai ilmu. “Mereka juga amal apa yang mereka pelajari dan amal nilai hidup yang mulia dan menjadikannya sebahagian budaya hidup,” sambung Tun Dr Mahathir. Beliau juga menjelaskan bahawa ada negara yang kurang maju kerana rakyat dan khususnya pentadbir negara mereka tidak berpegang kepada nilai-nilai murni.

Menurut Perdana Menteri, walaupun Malaysia tidak mampu menjadi negara maju menjelang 2020 seperti yang dicita-citakannya, namun negara masih mampu mencapai status tersebut kerana rakyat negara ini mempunyai kebolehan. “Yang hanya diperlukan ialah keikhlasan, amanah, kerajinan, usaha dan utama sekali berpuas hati dengan hasil kerja bukan dengan apa yang kita dapat,” kata beliau. Jelas Dr Mahathir lagi, untuk mencapai matlamat negara maju juga tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada doa atau sembahyang hajat. “Kita telah berdoa pada tuhan tetapi doa juga perlu disusuli dengan tindakan dari kita… kalau hanya berdoa dan sembahyang hajat tetapi tidak buat apa-apa maka segala cita-cita kita tidak akan datang bergolek atau melayang kepada kita,” kata beliau.

Di samping itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan semalam semua wakil rakyat Pakatan Harapan perlu mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM. Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata pengisytiharan aset wakil rakyat mungkin melibatkan anggota keluarga, seterusnya menjejaskan maklumat peribadi mereka jika ia dibentang kepada umum. “Ini melibatkan ramai orang, termasuk anggota keluarga. Kami sedang menimbang sebanyak mana yang boleh didedahkan kepada umum,” katanya. Menurut Mahathir, memandangkan pengisytiharan tersebut turut melibatkan ahli keluarga para wakil rakyat, privasi mereka akan dikompromi. “Ini mungkin menjejaskan privacy ramai orang termasuk anggota keluarga,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya. Nazri kata jadi sasaran perompak. Imbas kembali, pada 2012, bekas menteri Umno, Tan Sri Nazri Aziz menjelaskan hal yang sama, berkata menteri dan keluarga mereka akan menjadi sasaran perompak jika harta mereka diketahui orang ramai.

Ini mendorong pembaca Malaysiakini untuk menegur Nazri, mengatakan para menteri berisiko dipenjaran jika maklumat tersebut didedahkan. Pada masa itu, ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan kekecewaan terhadap SPRM kerana tidak menyokong pengisytiharan aset awam untuk menteri. “Saya faham ada risiko keselamatan jika anggota keluarga pemegang jawatan mengisytiharkan aset mereka kepada orang ramai, tetapi sekurang-kurangnya para pemegang jawatan itu sendiri harus berbuat demikian,” katanya. ‘Pengistiharan harta selepas tawan Putrajaya’. Kemudian pada Mac 2018, ketika NGO Invoke mengundang para penggubal undang-undang HARAPAN mengisytiharkan aset mereka, Anggota Parlimen DAP, Tony Pua berkata wakil rakyat parti itu akan berbuat demikian sebaik merek amenjadi menteri atau exco kerajaan negeri. “Itu pendirian DAP,” kata Pua. Pada 2004, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menyambut cabaran timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap DAP supaya pemimpin pembangkang mengisytiharkan aset mereka kepada orang ramai.

“Saya menerima cabaran Zahid supaya para pemimpin DAP secara terbuka mengisytiharkan aset kami – dengan syarat dalam tempoh dua minggu dari pengisytiharan aset awam, semua menteri kabinet, timbalan menteri, setiausaha parlimen, menteri besar, ketua menteri, ahli parlimen dan wakil rakyat menyatakan secara terbuka aset mereka serta keluarga terdekat mereka akan tertakluk kepada pengawasan dan akauntabiliti awam, “katanya.