(13-8-2017)
Beberapa pihak mula mengutuk keganasan yang terjadi dalam forum Nothing to Hide 2 beberapa jam selepas berita mengenai keganasan tersebut tersebar.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendalangi keganasan tersebut.
“Dr Mahathir hanya mahu berdebat mengikut amalan demokrasi dan sihat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetapi mendapat respon dengan balingan kasut, kerusi dan suar.
“Setelah takut berhujah, Najib menggunakan gangsterime untuk menutup mulut Tun Dr Mahathir dan ia adalah tindakan pengecut,” kata beliau dalam kenyataan media.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula berkata kejadian tersebut tidak boleh dipertahankan.
“Apa yang terjadi pada #Nothing2Hide mesti dikutuk dan tidak boleh dipertahankan. Harap pihak polis akan menangkap mereka yang bertanggungjawab,” kata beliau di Twitter, merujuk forum tersebut dalam hashtag.
Dalam kenyataan berasingan, Challenger sebuah kumpulan anak muda berkata keganasan itu amat memalukan.
“Tindakan ini melampau melebihi rasa tidak hormat dan tidak beradab yang biasa dilakukan hadirin untuk menyoal siasat (pengerusi BERSATU Dr Mahathir Mohamad).
“Khalayak hadirin termasuk orang tua dan kanak-kanak terperangkap dalam serangan suar ke arah mereka yang hadir itu.
“Risiko untuk nyawa seseorang itu terancam tidak patut dijadikan perhatian kepada seseorang yang hadir dalam acara pertemuan sebegitu,” kata setiausaha agung Challenger Jean Vaneisha.
“Ketepikan kecenderungan politik dan kesetiaan, kami menuntut dialog matang dan sivik. Kami mahukan Malaysia yang lebih baik,” katanya lagi.
Sementara itu, bekas menteri penerangan Zainuddin Maidin memberi amaran perkara-perkara yang akan berlaku sewaktu berlangsungnya pilihan raya umum ke 14 nanti.
“Bayangkan apa yang akan terjadi dalam kempen pilihan raya umum, apabila botol dan kerusi dilemparkan ke arah Mahathir dalam forum Nothing To Hide 2 hari ini,” kata beliau di Twitter.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun terkejut dengan insiden tersebut dan meminta semua pihak tidak menuding jari.
Acara di Shah Alam itu sepatutnya menjadi debat di antara Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Namun demikian, Najib tidak hadir dan acara tersebut bertukar huru-hara dengan selipar dilemparkan ke arah Mahathir semasa sesi soal jawab.
Selanjutnya, kerusi, botol dan paling kurang dua suar dibaling ke dalam dewan. Pergaduhan juga meletus dan berterusan di luar dewan.
Paling kurang tiga orang telah ditahan dan diserahkan kepada pihak polis, manakala Dr Mahathir berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan.
Sekurang-kurangnya seorang wartawan yang membuat liputan luka di bahagian lutut semasa kekecohan terjadi.
Bagaimanapun di samping kutukan terhadap keganasan itu, ketua pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii bersyukur kerana Umno tidak melayan undangan untuk hadir ke forum tersebut.
“Nasib baik kami tidak hadir,” kata beliau dalam mesej teks kepada Malaysiakini.
Mohd Razlan menyalahkan ARMADA BERSATU atas keganasan tersebut kerana “mencari gaduh dengan orang ramai.”
DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan pengecut yang menggangu ketenteraman program Nothing to Hide 2.0 di Dewan Raja Muda Musa di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Shah Alam, petang tadi.
Kekacauan di program Nothing to Hide 2.0 adalah bukti sikap ganas mendukung kleptokrasi yang anti perdebatan sihat.
Pengerusi HARAPAN, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya mahu berdebat mengikut amalan demokrasi dan sihat dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak tetapi mendapat respon dengan balingan kasut, kerusi dan suar.
Setelah takut berhujah, Najib menggunakan gangsterime untuk menutup mulut Dr. Mahathir dan ia adalah tindakan pengecut.
Najib perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan jenayah dan tindakan tidak bertamadun penyokongnya di program Nothing to Hide 2.0.
Saya mahu Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap dalang dan pelaku insiden yang jelas menggangu ketenteraman awam.
Semua pihak di lokasi kejadian diseru bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dapat dilengkapkan dengan segera.
Cara mengubah Malaysia adalah dengan melalui pilihan raya aman dan bersih. Kita tidak sesekali setuju dengan kaedah keganasan terancang.