Tekanan kos sara hidup golongan luar bandar perlu diberi perhatian, kata Dr Mahathir

Penduduk luar bandar paling terjejas teruk dengan kenaikan kos sara hidup, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan (PH) tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlanda. Menurutnya, kerajaan harus mencari jalan untuk menambah pendapatan golongan berkenaan. “Kita harus lebih tahu apa yang mereka (pengundi Cameron Highlands) tidak gembira. Kita tahu antara perkara yang menjejaskan mereka ialah kos hidup yang tinggi.

“Kos sara hidup bagi orang kaya tidak ada apa-apa maksud tetapi bagi orang miskin ia masalah besar. Dan mereka ini orang miskin di luar bandar. Kita mesti cari jalan untuk kurangkan kos hidup dan membantu mereka mendapatkan pendapatan lebih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sebuah acara di Putrajaya. Katanya yang juga Pengerusi PH, Barisan Nasional (BN) memainkan sentimen perkauman untuk memperolehi kemenangan pada PRK tersebut. Bagaimanapun, katanya, keputusan berkenaan sudah dijangka kerana BN memang diakui kuat di kawasan luar bandar. “Ia adalah keputusan rakyat dan kami harus terima,” ujarnya.

Calon BN, Ramli Mohd Noor memperolehi 12,038 undi, menewaskan calon PH, M. Manogaran (8,800 undi) dan dua calon bebas, bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi ) yang juga petani tempatan dengan kelebihan 3,238 undi. – Roketkini.com