Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang bakal berlangsung pada 26 Januari nanti akan membuka peluang untuk gabungan itu merampas pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, jika calon PH M Manogaran dari DAP berjaya merampas kerusi tradisi MIC itu, kemungkinan besar Kerajaan Negeri Pahang yang kini ditadbir Barisan Nasional (BN) tumbang dalam PRU empat tahun lagi. “Tidak mudah untuk menawan Kerajaan Negeri Pahang, tetapi, ia mampu dilakukan seperti mana tidak mudah menawan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya namun Pakatan Harapan berjaya melakukannya.
“Justeru itu, PRK Cameron Highlands adalah tirai pembuka kepada pertempuran hebat untuk merampas kuasa pentadbiran negeri Pahang pada PRU seterusnya yang bakal berlangsung dalam tempoh empat tahun akan datang,” kata dalam kenyataan, hari ini. Manogaran bakal berdepan calon BN iaitu bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor, yang merupakan Orang Asli beragama Islam dari suku Semai dan Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas. Bagi sesetengah pihak, kata Kit Siang, UMNO tidak mungkin akan tewas di Pahang, namun perkara sama diperkatakan mengenai PRU14 yang menyaksikan parti itu tewas di peringkat Persekutuan. “Namun hanya lapan bulan lalu, adalah sesuatu yang tidak diduga yang UMNO akan hilang kuasa di peringkat Persekutuan dan jawatan Perdana Menteri, namun kedua-dua peristiwa itu berlaku,” ujarnya.