Muhyiddin digesa arah Ketua Polis Negara buka semula siasatan kematian Beng Hock

Ketua Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh menggesa Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera mengarahkan Ketua Polis Negara (KPN) membuka semula kertas siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock. Gesaan itu dibuat kerana terdapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara supaya kes itu dibuka semula, selain Mahkamah Rayuan mendapati terdapat bukti perbuatan khianat dalam kes tersebut. “Kegagalan Menteri Dalam Negeri mengarahkan Ketua Polis Negara membuka semula siasatan ke atas kematian Teoh Beng Hock walaupun telah digesa oleh Peguam Negara amat dikesalkan dan membingungkan.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin direkodkan berkata bahawa siasatan ke atas kematian Teoh akan dibuka semula selepas menerima arahan Peguam Negara,” katanya yang merujuk laporan akhbar pada 25 Oktober 2018. Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Pasir Gelugor turut menghantar surat bertarikh 26 Oktober 2018 kepada Muhyiddin bahawa Peguam Negara telah mengarahkan kes itu dibuka semula. Bagaimanapun, katanya, surat itu sehingga kini tidak dijawab. Malah, katanya, Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga mendapat surat penjelasan daripada Peguam Negara bahawa pejabat itu telah mengarahkan KPN membuka semula kes tersebut Sejak 17 Julai 2018. “Kenapa Muhyiddin masih tidak mengarahkan KPN membuka semula siasatan ke atas kematian Teoh walaupun Peguam Negara sudah mengarahkan KPN berbuat demikian sejak Julai?

“Kenapa Muhyiddin tidak mengarahkan KPN buka semula kertas siasatan ke atas kematian Teoh Beng Hock walaupun Mahkamah Rayuan sendiri mendapati terdapat bukti perbuatan khianat dalam kes kematian Teoh dan Peguam Negara sendiri berpandangan bahawa siasatan ke atas kematian tersebut mesti dibuka semula?” soalnya.