‘Kenapa tak tanya Najib?’, Tony Pua tempelak Khairy

Tony Pua menempelak bekas menteri Barisan Nasional yang bertindak menjarakkan diri daripada dakwaan kerajaan China menawarkan bantuan kepada 1MDB yang mengalami masalah kewangan sebagai balasan penganugerahan projek. Walaupun ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet sekalipun, kata Ahli Parlimen Damansara itu, mereka sepatutnya mempersoalkannya apatah lagi selepas terdapat bukti mengesahkan berbilion dolar dana 1MDB diselewengkan.

“Pernahkah kamu membangkitkan persoalan itu di dalam Kabinet dan meminta Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Najib Razak) menjelaskan perjanjian yang penuh muslihat itu?” soalnya dalam kenyataan, hari ini. Beliau yang juga pegawai khas kepada Menteri Kewangan berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang kononnya tidak tahu menahu mengenai perjanjian antara China dan pentadbiran Najib. “Sebagai bekas anggota Kabinet saya boleh katakan dengan jelas bahawa Kabinet tidak pernah diberitahu bahawa urus niaga China berkaitan dengan bail out 1MDB. “Jika ada bukti ia berlaku, ia tanpa kelulusan Kabinet,” kata yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan di Twitter baru-baru ini. Laporan Wall Street Journal (WSJ) mendakwa kerajaan China pada 2016 pernah menawarkan untuk menebus 1MDB yang menghadapi masalah kewangan sebagai balasan penganugerahan projek saliran paip bagi inisiatif ‘One Belt, One Road’.

Akhbar yang paling awal melaporkan mengenai salah laku membabitkan 1MDB itu memetik minit mesyuarat yang tidak didedahkan sebelum ini. “Minit mesyuarat menunjukkan pegawai China memaklumkan bahawa kerajaan China akan menggunakan pengaruh bagi memastikan AS dan negara lain menggugurkan siasatan berhubung kes melibatkan perdana menteri ketika itu Najib Razak dan sekutunya, yang didakwa menyeleweng dana 1MDB. “Sebagai balasan, Malaysia menawarkan kepentingan dalam projek saliran paip untuk program infrastruktur kerajaan China ‘One Belt, One Road’. “Dalam tempoh beberapa bulan, Najib, yang menafikan sebarang salah laku dalam kes 1MDB, menandatangani perjanjian projek saliran paip bernilai AS$34 bilion dengan syarikat China, yang akan didanai bank-bank China dan dibina oleh pekerja China,” demikian menurut laporan yang ditulis Tom Wright dan Bradley Hope.