TAIPING: Para pemimpin diseru untuk menonjolkan sikap berterus-terang selain tidak berbohong kepada rakyat. Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dalam usaha membina semula negara, soal integriti merupakan perkara yang terpenting dalam partinya. Mengulas lanjut tentang isu dakwaan beberapa pemimpin tertinggi dalam PH yang dikatakan status kelayakan akademik mereka diragui, beliau berkata ia harus ditangani dengan bijak.
Katanya lagi, beliau sendiri pernah terpalit dengan dakwaan seumpama itu namun ujarnya, ia telah pun dijelaskan kepada umum sebelum ini. “Saya secara terbuka mengatakan saya memang pernah melanjutkan pelajaran ke luar negara namun, saya tidak berjaya membawa pulang sijil ijazah. “Pada masa sama, orang sentiasa sebutkan perkara itu dalam media sosial. Apakan daya saya untuk menghentikan ia. “Tetapi, saya tidak berbohong. Saya melanjutkan pelajaran tetapi tidak membawa pulang ijazah. Itu adalah dua perkara yang berbeza,” katanya. Pertama kali Ahmad Faizal menjelaskan tentang isu pengajiannya dari sebuah institusi luar negara adalah sewaktu menghadiri satu sesi wawancara Bernama Radio di Ibu Negara pada Julai 2018. Ia turut disebut dalam satu program di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar pada tahun lalu. Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak sekali lagi mengulangi pendirian bahawa sekiranya perkara tersebut menjadi isu, beliau menyerahkannya kepada pimpinan parti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew, di sini, hari ini. Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri; Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohammad Kassim serta Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Bahagian Pembahagian TNB Perak, Datuk Raja Abd Jalil Raja Zaid. Pada perkembangan sama, Ahmad Faizal turut ditanya tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang bakal berlangsung pada 2 Mac ini. Katanya ia bakal menjadi pilihanraya yang sengit dan PH akan berusaha bersungguh-sungguh bagi menawan semula kerusi tersebut.
“Pada pandangan saya, amat merugikan sekiranya pengundi memilih calon yang bukan daripada PH. Namun ia terserah pada kebijaksanaan mereka,” katanya.