DAP Perak lapor MCA pada polis, desak pulangkan wang 1MDB

Setiausaha Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin hari ini membuat laporan polis terhadap MCA yang didakwa menerima RM16.5 juta, yang dipercayai wang hasil penyelewengan 1MDB, daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2013. Laporan itu, katanya, dibuat bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyimpan wang curi. “Bekas Presiden MCA Chua Soi Lek mengaku bahawa MCA menerima dana daripada Najib pada 2013 dan wang tersebut kini dibuktikan berasal daripada 1MDB.

“Wee Ka Siong selaku Presiden MCA yang sekarang tahu bahawa RM16.5 juta yang diterima oleh MCA pada 2013 adalah wang yang dicuri daripada 1MDB, justeru tidak harus menyimpannya. “Jika Wee Ka Siong enggan memulangkannya dan terus menyimpannya, dia boleh disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya yang juga Adun Keranji dalam kenyataan. Beliau turut menggesa agar Ka Siong segera memulangkan wang tersebut kepada rakyat kerana MCA tidak mempunyai sebab untuk menyimpannya. Untuk rekod, Soi Lek dalam memoirnya mengaku menerima wang berkenaan daripada Najib menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Bagaimanapun, Ka Siong dalam wawancara dengan akhbar milik MCA, The Star berkata beliau tidak tahu mengenai wang yang diterima partinya itu.