DAP berdepan laluan sukar untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, kata pemimpin veteran parti, Lim Kit Siang. Ini kerana, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, kerusi tersebut sejak sekian lama menjadi “deposit tetap” Barisan Nasional. Pun begitu, katanya, peluang untuk DAP merampas kerusi tersebut cerah sekiranya parti mampu mengekalkan sokongan kaum Cina dan India, serta meningkatkan lagi undi dari kaum Melayu dan Orang Asli.
“Jika kita mampu melakukannya (menang PRK Cameron Highlands), maka jentera pilihan raya DAP/Pakatan Harapan di Cameron Highlands melakukan satu ‘keajaiban’,”katanya. Untuk rekod, PRK Cameron Highlands diadakan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.