Dakwaan PAS terima RM90 juta dari Najib “Ya atau tidak,” soal MP DAP

Tindakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang memutuskan untuk menyelesaikan kes samannya terhadap editor laman web pembocor maklumat Sarawak Report (SR), Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah menimbulkan pelbagai persoalan. Untuk rekod, saman berkenaan adalah berkenaan artikel yang mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai usaha menarik parti Islam itu menyokong BN dan UMNO.

“Selepas membelanjakan lebih RM2.5 juta untuk bayaran guaman dan perbicaraan ditetapkan pada April, tidak masuk akal untuk Hadi berputus asa terlalu mudah, lebih-lebih lagi apabila partinya dituduh menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri. “Ia menimbulkan persoalan – adakah dakwaan dalam artikel itu benar belaka? Adakah Hadi dan pemimpin PAS lain berani memberi jawapan ringkas ‘Ya’ atau ‘Tidak’? “Rakyat, pengundi di Kelantan dan Terengganu, ahli PAS, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu tahu,” ujar Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam kenyataan hari ini. Setiausaha Politik kepada presiden PAS, Syahir Sulaiman semalam memaklumkan bahawa Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes saman terhadap Clare di luar mahkamah di London, United Kingdom. Ini bermakna artikel yang diterbitkan di SR pada 6 Ogos 2016 berhubung dakwaan PAS menerima RM90 juta daripada Najib adalah kekal. Sebelum ini, PAS mengumpul RM400,000 daripada ahlinya selepas merayu kepada mereka untuk membantu parti itu bagi menampung kos guaman.

“Adakah Hadi akan menyumbangkan wang itu, jika masih berbaki, kepada mereka yang memerlukan di dua negeri yang ditadbirnya, Kelantan dan Terengganu? Dari segi moral, tidak betul untuk parti itu menyimpan wang itu untuk mereka sendiri,” soal Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan. – Roketkini.com

Timbalan Menteri DAP terima kunjungan mesra NGO Palestin

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menerima kunjungan wakil Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) di pejabatnya dekat Putrajaya, pada 29 Januari lalu. Kunjungan ini merupakan satu penghargaan atas keputusan tegas dan berani oleh pihak kerajaan Malaysia melarang perenang Israel daripada memasuki Malaysia bagi menyertai kejohanan sukan tersebut yang sepatutnya diadakan di Kuching, Sarawak. “Kami berharap Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam perjuangan rakyat Palestin di semua peringkat dan dengan apa cara sekalipun,” ujar PCOM dalam sepucuk surat kepada Steven yang juga merupakan Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang.

10 Januari lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menegaskan Putrajaya tetap dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak antara 29 Julai hingga 4 Ogos depan walaupun mendapat tekanan pihak antarabangsa. Susulan itu lembaga pengurusan Jawatankuasa Para Antarabangsa yang bermesyuarat di London Ahad lalu membuat keputusan bahawa Malaysia hilang kelayakan untuk menganjurkan kejohanan berkenaan. Dr Mahathir bagaimanapun tidak ambil pusing dengan tindakan badan antarabangsa tersebut. “Dia nak batal, batallah! Saya dapati bahawa dunia terpaksa ikut Israel, saya tak faham lah. Kuasa dunia ada kuasa, tapi dia terpaksa ikut Israel. Kita tak ikut,” katanya.

MP DAP sumbang lebih RM50,000 untuk surau di Nilai

Dua buah surau di Nilai menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke dalam satu majlis pada 28 Januari lalu. Surau Al-Hidayah Taman Sri Damar Mantin dan Surau Taman Medang Mantin masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM50,000 dan RM5,000. Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP menerusi laman Facebooknya berkata peruntukan tersebut diberikan mengikut keperluan dan permohonan. Turut menerima sumbangan adalah 100 individu dan 12 pertubuhan lain, termasuk sekolah, yang masing-masing berjumlah RM50,000 dan RM260,000.

Dalam perkembangan lain, Sheikh Omar Ali bakal dilantik menjadi anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk tempoh dua tahun, lapor portal Malaysiakini. Memetik sumber, watikah pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh itu akan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal agama) Mujahid Yusof di Putrajaya esok. Sheikh Omar adalah Setiausaha Publisiti DAP Johor dan kini menjawat jawatan exco pembangunan usahawan, koperasi, penerangan dan ekonomi kreatif Johor. Sumber turut menegaskan bahawa latar belakang DAP yang dimiliki Sheikh Omar tidak akan menjejaskan pelantikannya. “Kalau kita ingat, Sheikh Omar dulu pernah dispekulasi sebagai bakal exco agama (Johor), tetapi tidak menjadi kenyataan. “Lagi pun bidang pengajiannya memang dalam pengajian Islam,” katanya. Sheikh Omar mendapat pendidikan peringkat ijazah dalam bidang pendidikan peringkat ijazah dalam bidang usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dalam dakwah. Yadim ditubuhkan pada 1974 bagi menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar seiring dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.

Agensi itu kini dipimpin oleh yang dipertuanya yang baru Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat.

Tekanan kos sara hidup golongan luar bandar perlu diberi perhatian, kata Dr Mahathir

Penduduk luar bandar paling terjejas teruk dengan kenaikan kos sara hidup, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan (PH) tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlanda. Menurutnya, kerajaan harus mencari jalan untuk menambah pendapatan golongan berkenaan. “Kita harus lebih tahu apa yang mereka (pengundi Cameron Highlands) tidak gembira. Kita tahu antara perkara yang menjejaskan mereka ialah kos hidup yang tinggi.

“Kos sara hidup bagi orang kaya tidak ada apa-apa maksud tetapi bagi orang miskin ia masalah besar. Dan mereka ini orang miskin di luar bandar. Kita mesti cari jalan untuk kurangkan kos hidup dan membantu mereka mendapatkan pendapatan lebih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sebuah acara di Putrajaya. Katanya yang juga Pengerusi PH, Barisan Nasional (BN) memainkan sentimen perkauman untuk memperolehi kemenangan pada PRK tersebut. Bagaimanapun, katanya, keputusan berkenaan sudah dijangka kerana BN memang diakui kuat di kawasan luar bandar. “Ia adalah keputusan rakyat dan kami harus terima,” ujarnya.

Calon BN, Ramli Mohd Noor memperolehi 12,038 undi, menewaskan calon PH, M. Manogaran (8,800 undi) dan dua calon bebas, bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi ) yang juga petani tempatan dengan kelebihan 3,238 undi. – Roketkini.com