Nga Kor Ming membawa 4 usul ke parlimen untuk membela hak rakyat & negara
1. Hari ini adalah tarikh tutup untuk mengemukakan usul di Parlimen & saya telah mengemukakan 4 usul bertulis kepada Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin bin Mulia selaras dengan perkara 27(2) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
2. Usul saya yang pertama adalah meminta supaya Laporan Ketua Audit Negara berkenaan skandal 1MDB dibentang dan dibahas di parlimen supaya mengenalpasti samada jumlah wang awam RM28 bilion telah dicuri ataupun tidak.
Kerajaan Malaysia telah menjadi bahan ketawa dunia kerana memakai Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk menyembunyikan laporan Ketua audit negara.
3. Usul kedua saya meminta supaya YAB Perdana Menteri & seluruh anggota menteri kabinet mengisytiharkan harta mereka kepada parlimen setiap hujung tahun bulan Disember. Pengisytiharan harta oleh seluruh kabinet secara telus akan membantu negara membanteras rasuah.
4. Usul ketiga saya mengesyorkan supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera untuk menyiasat skandal 1MDB yang kini melibatkan hutang RM55 bilion termasuk hutang yang dijamin oleh kerajaan dengan duit rakyat.
5. Usul keempat saya adalah selaras dengan titah Majlis Raja-raja Melayu dimana Akta Majlis Keselamatan Negara 2016(Akta MKN) yang berkuatkuasa pada Ogos tahun ini dikaji semula dengan segera supaya ia tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan dan mengelakkan Malaysia menjadi negara yang ditadbir oleh Diktator.
6. Keempat-empat usul bertulis yang dibawa saya selaku Ahli Parlimen adalah perkara2 spesifik, berkepentingan awam & perlu diberi keutamaan dalam menyelamatkan negara ini dari terus terjerumus ke kancah kemusnahan.
7. Saya menaruh harapan yang tinggi supaya Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat akan membenarkan usul-usul ini dibahas serta diluluskan sempena persidangan parlimen yang akan bermula dari 17hb Oktober ini demi untuk menjaga kepentingan negara kita yang tercinta ini.
Sekian, terima kasih.
Nga Kor Ming
Ahli Parlimen TAIPING
Pengerusi DAP Perak