Speaker baru: Jangan bandingkan saya dengan Pandikar

(3-8-2018)

Speaker Dewan Rakyat yang baru Datuk Mohamad Ariff Yusof menolak dirinya dibandingkan dengan speaker sebelum ini, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.”Saya tidak mahu ungkit apa yang speaker sebelum saya buat, boleh jadi betul boleh jadi salah. Saya lebih pentingkan masa sekarang, berbanding semalam.”Tidak baik untuk sentiasa bercakap tentang masa lalu, saya lebih cenderung untuk melihat ke masa depan,” kata Mohamad Ariff kepada Malaysiakini dalam wawancara di pejabatnya di Parlimen.Ketika menjadi speaker, Pandikar sering dikritik kerana keputusan yang dibuatnya termasuklah apabila memutuskan bahawa membawa isu 1MDB di dalam Dewan Rakyat sebagai prejudis terhadap siasatan skandal itu.

Ditanya sama ada beliau akan membenarkan sebarang topik dibahaskan, bekas hakim itu berkata beliau tidak boleh memberi jaminan namun berkata kedaulatan undang-undang akan dimartabatkan.”Saya tidak boleh bercakap untuk speaker sebelum ini, saya hanya boleh kata kerajaan ketika ini komited dengan kedaulatan undang-undang.”Kami sudah kata beberapa kali bahawa di dalam parlimen, semua orang perlu diberi peluang untuk menyuarakan pendapat.”Anda mungkin tidak suka, tapi kita perlu dengar, kemudian bahaskan, dan kita berbahas secara intelektual,” katanya.

Perkara itu, katanya, adalah antara budaya parlimen yang ingin disemainya.Berhubung perbahasan yang menyentuh tentang kes yang sedang disiasat, Mohamad Ariff berkata pihaknya akan membuat keputusan berdasarkan pemahaman terhadap istilah itu dan yang dianggap persidangan yang tertib sekiranya isu seumpamanya timbul.Sebagai Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini, beliau menolak dakwaan menghina prosiding yang dikemukakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) terhadap peguam Fahda Nur Ahmad Kamar yang bercakap kepada umum tentang pengambilalihan industri air ketika mewakili kerajaan negeri Selangor.

Memetik kata-kata hakim Britain, Tom Denning yang terkenal, Mohamad Ariff berkata “kenyataan yang adil tidak akan prejudis terhadap perbicaraan” dan mengingatkan bahawa mahkamah perlu cermat dalam mengkategorikan sesuatu kenyataan sebagai menghina perbicaraan kes bagi menjamin kebebasan bersuara.Pada 2015, Mohamad Ariff dilaporkan tidak bersetuju dakwaan bahawa mempersoalkan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan 1MDB di parlimen sebagai prejudis.Katanya, isu prejudis tidak timbul kerana isu berkenaan ketika itu belum dibicarakan di mahkamah.