Kediaman Najib jadi tumpuan sekali lagi

(26-06-2018)

Kediaman bekas perdana menteri Najib Razak kembali menjadi tumpuan apabila petugas media petang hari ini menerima maklumat bahawa satu serbuan mungkin akan dijalankan oleh pihak berkuasa. Ramai wartawan mula berkumpul di Jalan Langgak Duta kerana terdapat ura-ura bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak akan ditangkap di kediaman peribadinya. Lebih kurang 30 orang wartawan dan jurugambar bersiap sedia di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur untuk menanti sekiranya terdapat sebarang operasi. Mereka kelihatan berjaga-jaga di persimpangan berhampiran rumah Najib yang dihalang daripada dimasuki dengan garisan polis berwarna kuning.

Empat anggota polis dipercayai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul juga dilihat berjaga di pintu masuk tetapi ini merupakan pemandangan biasa semenjak BN yang dipimpin Najib dikalahkan pada PRU14 bulan lalu. Kenderaan membawa Najib dilihat meninggalkan kediaman pukul 6.15 petang ke destinasi yang tidak dapat dipastikan. Najib kembali ke rumahnya pada jam 9.35 malam dan tiada sebarang serbuan pihak berkuasa dijalankan sehingga waktu itu. Bagaimanapun, setakat jam 9 malam tadi tidak ternampak kenderaan polis mahupun pelawat yang memasuki atau datang dari rumah Najib. Beberapa orang pemberita berkata, mereka telah diminta untuk bersiap sedia di Langgak Duta disebabkan para penyiasat akan menyiapkan siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pihak berkuasa dijangka menangkap Najib dalam masa terdekat. Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dihubungi berkata beliau tidak mengetahui jika pasukannya membuat sebarang operasi ke rumah Najib hari ini.

“Mungkin maklumat yang diterima (media) itu tidak benar,” kata beliau ketika ditanya. Perkara sama turut dinyatakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang berpendapat, media mungkin mendapat maklumat tidak benar. “Saya tidak tahu. Di pihak (JSJK) saya, tiada apa-apa tindakan malam ini, sila semak dengan pihak lain,” kata beliau ketika dihubungi pihak media yang menunggu. Najib, 64, kini berdepan siasatan pihak berkuasa berhubung penyelewengan dana daripada SRC International, salah sebuah bekas anak syarikat 1MDB. Pihak berkuasa Malaysia kini dijangka mendakwa Najib dengan tuduhan pengubahan wang haram setelah laporan terdapat jutaan ringgit dimasukkan ke akaun peribadinya menerusi dana SRC. Najib secara konsisten menafikan penglibatan beliau dengan perkara itu. Parti Barisan Nasional pimpinan Najib, kalah pilihan raya umum 9 Mei selepas 60 tahun membentuk kerajaan.

Mengikut laporan Reuters pada 19 Jun yang lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pasukan penyiasat kini ‘memiliki kes yang hampir sempurna’ terhadap suspek utama skandal 1MDB. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga telah berjanji akan menghukum pesalah yang berkaitan penyelewengan 1MDB.– 26 Jun, 2018