Untung bersih suku pertama Petronas meningkat kepada RM13 bilion

(31-5-2018)

Petronas mencatat keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2018 dengan menokok 26 peratus kepada RM13 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas, disokong oleh peningkatan perolehan dan masuk kira bersih daripada susut nilai. Dalam satu kenyataan semalam, syarikat petroliam nasional itu berkata keuntungan tahun ke tahun yang lebih tinggi itu turut didorong oleh tumpuan berterusan kumpulan terhadap inisiatif penambahbaikan perniagaan secara keseluruhannya serta kecemerlangan operasi dan peningkatan harga komoditi.

Perolehannya turut menokok RM1.4 bilion kepada RM57.9 bilion bagi suku tersebut, kebanyakannya disebabkan purata harga yang direalisasikan lebih tinggi meliputi kesemua produk dan diimbangi oleh kesan pengukuhan tukaran asing ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) Aliran masuk tunai operasi pula meningkat 22 peratus kepada RM21.9 bilion berbanding RM18.0 bilion bagi tempoh sama manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 2.0 peratus kepada RM25.0 bilion berbanding RM24.6 bilion bagi tempoh sama tahun lepas. Nisbah hutang setakat 31 Mac, 2018, adalah 16.2 peratus iaitu meningkat sedikit berbanding 16.1 peratus setakat 31 Dis, 2017.

Sementara itu, pulangan ke atas modal purata yang digunakan meningkat kepada 10.4 peratus daripada 9.8 peratus sebelum ini dan seiring dengan keuntungan lebih tinggi yang dicatatkan. Pelaburan modal kumpulan dalam suku di bawah kajian itu adalah RM12.0 bilion, sebahagian besarnya membabitkan Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Johor. Mengulas perkembangan itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin menyifatkan prestasi menggalakkan bagi suku pertama tersebut adalah hasil daripada usaha transformasi yang sedang dilaksanakan kumpulan. “Walaupun harga minyak menyaksikan aliran yang meningkat, industri ini sebaliknya perlu terus berhati-hati dalam menginstitusikan disiplin kecekapan kos dan menerusakan usaha kecekapan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas.

“Ini akan memastikan industri minyak dan gas Malaysia terus mampan dalam landskap global semasa yang kompetitif,” katanya. Menurut Petronas, prestasi keseluruhan bagi tahun ini dijangka memuaskan berikutan faktor ketidaktentuan harga minyak dan kadar tukaran asing.- Bernama