Gobind: RTM perlu ubah wajah dalam 6 bulan

(28-5-2018)

Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menonjolkan imej baharu dan lebih agresif dalam tempoh enam bulan sebagai usaha menarik lebih ramai penonton, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo. Gobind berkata perubahan itu bagi memastikan stesen berita paling utama itu mampu bersaing secara sihat atau lebih baik berbanding stesen televisyen swasta yang lain termasuk di peringkat antarabangsa.

“Apa yang kita siarkan kepada rakyat adalah sangat penting kerana ia mencorakkan cara pemikiran rakyat, justeru kita kena lihat kepada wajah RTM itu sendiri dan ramai memberi maklum balas kepada saya bahawa RTM kena ada perubahan drastik. “Jadi hari ini saya telah minta kepada pengurusan (RTM) supaya kita lihat kepada penyaing kita seperti CNN dan Al-Jazeera yang menyediakan bahan yang menarik untuk penonton kerana dalam bidang ini kita nak tarik minat penonton dan kalau orang tak lihat program kita maka program itu tidak berjaya,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di RTM dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di Angkasapuri hari ini.

Bagi mencapai hasrat itu, beliau berkata RTM perlu memberi perhatian kepada kandungan yang lebih segar, telus, pantas dan bertepatan dengan kehendak semasa penonton. Gobind juga tidak menolak kemungkinan menjadikan setiap saluran di RTM lebih spesifik mengikut kategori penonton. “Saya dengar pandangan yang diberikan dan ada yang menarik. Setakat ini kami lihat kemungkinan ada saluran khusus mungkin untuk berita saja atau sukan saja dan perkara-perkara lain. “Ini cadangan yang baik tapi saya mahukan lebih lagi kerana apa yang dikumpul dalam enam bulan ini saya nak bawa ke Kabinet. Ini supaya kita boleh ubah keseluruhan wajah RTM, lebih terkini dengan cabaran bukan sahaja di rantau Asia tapi seluruh dunia.

“Media ada di mana-mana, suka tak suka kita perlu adakan perubahan sistem supaya kita boleh menarik perhatian penonton seluruh dunia dan boleh bersaing dengan media sedia ada,” katanya. -Bernama