Tunggu bubar parlimen, dia bubar parti Mahathir

(05-4-2018)

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri hari ini mengumumkan untuk membubarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, hanya sehari sebelum Parlimen dijangka bubar. Perintah tersebut dibuat di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan, seperti diumumkan Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim dalam sidang akhbar di Putrajaya. Pembubaran tersebut, kata ROS adalah ekoran kegagalan untuk mengemukakan maklumat dan dokumen di bawah Seksyen 14(2) Akta yang sama.

Keputusan ROS tersebut mengingatkan kita kepada langkah hampir serupa yang dilaksanakan ROS sebelum hari penamaan calon pilihanraya umum ke-13 terhadap DAP. ROS pada ketika itu bertindak tidak mengiktiraf Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, yang boleh mengakibatkan watikah calon tidak boleh ditandatangani Setiausaha Agung parti, lantas menggesa PKR dan PAS untuk mengeluarkan watikah calon bagi calon-calon DAP. Bukan itu sahaja, DAP juga berdepan kemungkinan tidak boleh menggunakan lambang roket pada PRU lalu, sehinggakan keputusan dibuat untuk menggunakan logo PAS di Semenanjung, dan logo PKR di Sabah dan Sarawak.

Keputusan ROS membubarkan hari ini dilihat sebagai lanjutan keputusan SPR untuk ‘mengharamkan’ penggunaan gambar Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad dari dicetak bersama gambar calon-calon yang bertanding. Menurut Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan calon bakal Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dipapar pada poster kempen HARAPAN. “Kita juga difahamkan oleh SPR dan kita tanya kepada pegawai SPR umpamanya calon bakal perdana menteri kita Tun Dr Mahathir – adakah gambar beliau boleh dipaparkan dalam poster-poster kita di seluruh negara.”

Jawapan SPR kata tak boleh. Sebab dia kata Pakatan Harapan belum didaftarkan. Jadi pengurusi Pakatan Harapan adalah diharamkan dalam poster-poster pilihanraya. “Hanya gambar calon saja boleh, dan gambar presiden parti yang bertanding saja boleh,” katanya seperti dilaporkan Roketkini kelmarin. Parlimen dijangka dibubar esok, menjelang pelancaran manifesto Barisan Nasional pada hari Sabtu. – Roketkini.com