(20-3-2018)
Nampaknya semakin ramai bekas pemimpin dan veteran UMNO menzahirkan kegusaran mereka terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ekoran skandal mega kehilangan puluhan billion dana berdaulat negara 1MDB yang cuba disorok dari pengetahuan rakyat.Antara tokoh dan veteran UMNO yang telah menyuarakan kegelisahan dan kritikan mereka terhadap sikap berdiam diri dan dolak-dalik Najib menangani isu 1MDB bermula apabila bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menyindir kerajaan kerana gagal menjejak kapal mewah Jho Low yang didakwa mempunyai hubungkait dengan dana 1MDB.
Tindakan itu disusuli dengan kenyataan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Rais Yatim yang memuat naik status twitter mempersoal telatah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak yang galak mempertahankan Jho Low berbanding mencari kebenaran di sebalik rampasan kapal mewah ahli perniagaan tersebut.Terkini, Setiausaha Kelab Veteran UMNO, Mustapha Yaakub pula membuka mulut dan mendakwa mereka yang menyokong Jho Low sebagai pengkhianat kepada parti dan negara.
Bagaimanapun menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, segala kegelisahan yang disuarakan rakyat mahupun pemimpin veteran dan akar umbi UMNO itu telah sengaja dipesongkan dengan isu-isu lain.Akhirnya, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi “serangan jahat bertali-arus oleh tentera siber UMNO” mengingatkan kepada serangan yang dibuat ke atas hartawan Tan Sri Robert Kuok baru-baru ini katanya dalam kenyataan hari ini.“Tetapi ini tidak menyebabkan Rais ataupun Rafidah berasa gentar dengan kritikan mereka terhadap menteri dan pemimpin UMNO yang menjadi apoligetik serta membela skandal 1MDB dan Jho Low.
“Saya menyeru Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dan kepimpinan UMNO supaya mempedulikan suara-suara pemimpin veteran UMNO seperti Rais Yatim dan Rafidah,” katanya lagi. – Roketkini.com