Pendidikan Terbaik Buat Anak Mampu Bawa Keluar Daripada Kemiskinan – MB Perak

TAPAH : Kualiti pendidikan terbaik adalah antara initiatif tepat bagi sesebuah keluarga yang kurang bernasib baik itu keluar daripada kepompong kemiskinan. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebagai ibu bapa, walau apa juga yang dilakukan, mereka seharusnya mengambil berat soal pendidikan anak-anak mereka.

Katanya lagi, para ibu bapa juga harus memberi sokongan kepada anak-anak mereka untuk terus berjaya dalam pelajaran. “Jika hari ini, kita rasa terhimpit dengan kesusahan dan kemiskinan, satu-satunya cara untuk bawa keluarga kita keluar daripada kemiskinan, yang semestinya bukan untuk diwarisi ini ialah dengan memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak. “Saya mohon para ibu bapa agar dapat meluangkan masa duduk bersama dengan anak-anak dan pastikan mereka menyiapkan kerja rumah yang diberikan. “Pastikan mereka ke sekolah. Jika terlambat atau lewat ke sekolah, hantarkan mereka,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, ibu bapa juga turut diseru untuk mengeratkan hubungan mereka dengan para guru anak mereka dengan menyertai sebarang aktiviti di sekolah. Jelas Ahmad Faizal, dengan segala usaha tersebut ia mampu menjadikan anak-anak mereka sebagai pembela keluarga mereka sendiri di masa hadapan. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Memperkasakan Jalinan Asnaf anjuran Lembaga Air Perak (LAP) di perkarangan Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Batang Padang, dekat sini, hari ini. Dalam pada itu, walaupun golongan asnaf tetap menerima bantuan namun, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang menyeru kepada mereka untuk terus berusaha memperbaiki nasib diri sendiri.

Saya menyeru kepada semua agar dapat kita memperbaiki diri dan hidup. Tanamkan azam jika hari ini kita menjadi orang yang dibantu, esok kita mahu jadikan diri kita ini sebagai golongan yang membantu,” katanya. Beliau turut mengambil contoh keterlibatannya dalam arena parti politik pembangkang yang dahulunya tiada sumbangan yang besar namun, atas semangat dan usaha yang disertai sokongan semua pihak, partinya kini menjadi parti kerajaan selepas Pilihanraya Umum yang lalu. Sementara itu, Ahmad Faizal menzahirkan penghargaan kepada LAP yang menyerahkan zakat kepada kerajaan negeri, untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

Pada program tersebut, LAP telah menyerahkan zakat kepada sekitar 100 golongan asnaf di kawasan DUN Chenderiang yang majoriti penerimanya mempunyai anak kecil yang sedang bersekolah.